Nasib guru KAFA dikaji - Utusan Malaysia

Nasib guru KAFA dikaji

guru kafa
KPM memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu perjawatan dan bayaran elaun rendah kepada 35,000 guru Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sedang dikaji bagi membolehkan mereka diserapkan ke jawatan seperti penjawat awam lain dan menerima gaji setimpal.

Sejak sekolah agama diper­kenalkan 33 tahun lalu, guru-guru KAFA yang mengajar 1.3 juta murid hanya dibayar elaun kontrak antara RM1,000 hingga RM1,300 sebulan.

Elaun bulanan tersebut bukan sahaja berbeza antara ne­geri tetapi pendapatan mereka juga dalam kategori di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208 sebulan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Menteri di Jabatan Per­dana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, antara syarat untuk mengubah nasib guru KAFA ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkehendaki masa bekerja guru-guru KAFA mesti lima hari seminggu dengan lapan jam sehari.

Menurut beliau, dengan memenuhi syarat masa bekerja tersebut ia adalah syarat asas untuk 35,000 guru KAFA menerima gaji dan bukan lagi elaun bulanan.

Selain itu, kata beliau, ketersediaan premis dijadikan tempat mengajar sepenuh masa, memperincikan hasil program KAFA kepada negara, menilai implikasi kewangan kepada kumpulan guru itu sedang diperincikan kerajaan bagi menambah baik perjawatan guru KAFA.

DIPUTUSKAN

“Semua perkara itu diputuskan dalam sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), JPA dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tahun lalu.

“Ia bagi membolehkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperkemas beberapa aspek utama tersebut termasuk menyediakan implikasi kewangan bagi kos-kos lain berkaitan,” kata beliau.

Mohd. Na’im berkata, Jakim turut sedang membuat penelitian berhubung kelayakan ikhtisas para guru dan cadangan perjawatan kepada JPA dan seterusnya kelulusan MoF.

Menurut beliau, pelantikan guru KAFA ketika ini di bawah bidang kuasa Agensi Pelaksana KAFA Negeri dan tidak di­sandarkan kepada mana-mana skim Perkhidmatan Awam Persekutuan mahupun skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan serta hanya menerima elaun daripada kerajaan.

KELAYAKAN

Pada masa sama, katanya, guru-guru KAFA juga perlu memenuhi kelayakan ikhtisas yang merupakan elemen pen­ting bagi memenuhi syarat dan kelayakan yang ditentukan JPA.

“Pun begitu, kerajaan pada hari ini amat menyanjung tinggi serta mengiktiraf peranan para guru KAFA khususnya dalam pendidikan Islam yang dizahirkan dalam Belanjawan 2023 yang bersetuju menaikkan elaun 35,000 guru KAFA seba­nyak RM100 kepada RM1,100 dengan peruntukan tambahan lebih RM 40 juta,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Muhd. Fadhli Jusoh berkata, guru KAFA yang berstatus lantikan tahunan menyebabkan sukar untuk urusan pinjaman kewangan.

Menurut beliau, upah dan elaun guru-guru berkenaan hanya RM1,000 sebulan sekali gus meletakkan pendapatan mereka di bawah kemiskinan dan tidak seperti penjawat awam lain.

Program KAFA lebih 30 tahun dan sudah membesar. Ia bukan lagi program soko­ngan seperti dulu. KAFA sudah menjadi sistem yang besar dan utama.

“Peranan dipikul guru-guru ini besar sama golongan pendidik lain dalam memberikan pendidikan agama Islam. Semua ibu bapa cari KAFA dan ia sudah menjadi sebagai kehidupan masa ini.

“Sudah sampai masanya kerajaan menggunakan peruntukan Perlembagaan Perkara 3 Islam Agama Persekutuan, jadi boleh menggunakan apa-apa peruntukan daripada wang disatukan negara untuk kepenti­ngan agama Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×