JOHOR BAHRU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinasihatkan supaya tidak berpolitik sepanjang masa, sebaliknya memberi tumpuan terhadap peranannya sebagai pemimpin pembangkang yang efektif dalam menyumbang terhadap pembangunan negara.
Justeru, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut meminta Perdana Menteri kelapan itu memberi fokus terhadap pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.
“Kita perlu kurangkan berpolitik kerana ini juga merupakan nasihat daripada raja-raja Melayu. Jadi, saya mengharapkan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin fokus sebagai pembangkang yang bermaruah.
“Fokus terhadap apa yang berlaku sekarang dengan beliau. Dia nak kekal sebagai apa itu adalah hak parti dia tetapi rakyat bijak menilai, sebaliknya bagi saya dan rakan-rakan lain, kita hanya fokus kerja untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya ditemui selepas menyantuni mangsa banjir di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.
Fahmi yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, sebagai seorang ahli politik senior, Muhyiddin seharusnya menyedari bahawa komen-komen yang dibuatnya pada waktu ini tidak membantu rakyat.
“Ini kerana ketika ini terdapat banyak masalah rakyat yang perlu diselesaikan, malah kami juga amat prihatin dengan keluhan yang diluahkan mereka dalam media sosial termasuk soal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Jadi, beliau (Muhyiddin) perlu kurangkan berpolitik dan tunggulah sehingga pilihan raya nanti, tidak perlulah nak usahakan untuk tebuk atap atau guna pintu belakang,” katanya
Fahmi berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu juga kerap menukar pendirian apabila tindakan undang-undang dikenakan terhadap Bersatu dikritik, sedangkan apabila parti lawan dikenakan tindakan sama, beliau berpendirian lain.