Melaka bekalkan 2.4 juta biji telur untuk kegunaan Ramadan

Melaka bekalkan 2.4 juta biji telur untuk kegunaan Ramadan

HAIRUDIN Yunos menunjukkan telur ayam yang dijual ketika Majlis Perasmian Program Jualan Pra Ramadan Melaka Madani 2023 di Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 2.4 juta biji telur ayam dari Melaka akan disalurkan ke seluruh Semenanjung bagi menampung peningkatan permintaan ketika Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka, Hairudin Yunos berkata, keperluan di seluruh Semenanjung dijangka meningkat kira-kira 10 peratus dari kebiasaan.

Beliau berkata, sebanyak 20,000 papan atau bersamaan 600,000 biji telur akan dibekalkan ke luar Melaka pada setiap minggu melalui pengagihan dibuat pasukan khas, Egg Action Team@Melaka (EAT@Melaka) di 14 Pusat Operasi FAMA seluruh Semenanjung.

“Menjelang Ramadan kita sudah sedia untuk tampung keperluan terutama bagi pasaran Pantai Timur dan Pantai Barat, minggu ini pun kita jangkakan hampir 20,000 papan akan dipasarkan ke luar Melaka.

“Langkah intervensi akan dijalankan sehingga Jun ini bagi menjamin bekalan telur mencukupi dan kestabilannya dalam pasaran,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jualan Pra Ramadan Melaka Madani 2023 di Bukit Katil di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, telur import dari India tidak akan dibawa masuk untuk pasaran negeri ini kerana pengeluaran telur di peringkat domestik mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebanyak enam juta biji telur dihasilkan setiap hari dan jumlah itu mencukupi untuk kegunaan domestik.

Tambah Hairudin, sejak Disember tahun lalu, FAMA Melaka telah menyalurkan hampir 9.6 juta biji telur ke luar negeri ini.

Jelasnya, Melaka juga merupakan antara pengeluar telur terbesar yang dibekalkan oleh sebuah ladang ternakan ayam di Jasin.

“Melaka mempunyai banyak ladang satelit dan ladang besar, difahamkan sebuah ladang di Jasin turut mengeluarkan hampir enam juta biji telur pada setiap minggu bagi pasaran mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya