Mangsa banjir di Johor berkurangan, 39,620 masih di PPS - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Johor berkurangan, 39,620 masih di PPS

KEADAAN rumah penduduk kampung berhampiran Pekan Sri Medan, Batu Pahat yang masih ditenggelami banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini menunjukkan tanda-tanda positif dengan jumlah mangsa terus berkurangan ekoran cuaca baik sepanjang hari, semalam.

Setakat pukul 8 pagi ini, seramai 39,620 mangsa daripada 10,826 keluarga masih ditempatkan di 210 pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu menunjukkan pengurangan berbanding 40,129 mangsa yang ditempatkan di 216 PPS pada pukul 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.berkata, sembilan daerah masih terjejas akibat banjir dengan Batu Pahat  mencatatkan mangsa paling ramai, iaitu 22,209 orang.

“Ini diikuti daerah Muar  dengan 5,094 mangsa, Segamat (4,036), Kluang (2,591),  Tangkak (2,584), Kota Tinggi (1,754), Mersing (1,164), Pontian (150) dan Johor Bahru (38),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jumlah mangsa yang maut menjadi lima orang, dengan kes terbaru melibatkan seorang  wanita, Tan Sharon  berusia 23 tahun apabila kereta dipandunya dihanyutkan arus banjir di Mersing, semalam.

Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan tiada sebarang amaran hujan berterusan dikeluarkan di seluruh negeri ini membabitkan kesemua 10 daerah.

Walau bagaimanapun,  sebanyak 12 sungai di lima daerah masih diletakkan bawah kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Sembrong.

Sebanyak 41 laluan dan susur ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Bekok, Jalan Senai-Gemas, Jalan Sungai Mati-Bukit Serampang, Jalan Panchor, Jalan Kuala Paya-Balai Badang, Jalan Kampung Liang Batu dan Jalan Semaloi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN