MAINS salur RM16j dana zakat beri bantuan sepanjang Ramadan - Utusan Malaysia

MAINS salur RM16j dana zakat beri bantuan sepanjang Ramadan

ABDUL Aziz Sheikh Ab. Kadir (tengah) menyerahkan sumbangan aktiviti kebajikan kepada Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (Manis), Afifi Hafiz Mohd. Nor (kanan) pada Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra MAINS Bersama Media 2023 di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan menyalurkan lebih RM16 juta dari dana zakatnya kepada pelbagai skim bantuan yang disediakan sepanjang bulan Ramadan ini.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab. Kadir berkata, skim bantuan tersebut termasuklah Bantuan Tahunan Kariah Masjid dan Surau, Bantuan Bulanan, Ramadan dan Aidilfitri Asnaf Fakir dan Miskin serta Bantuan Anak Yatim Negeri Sembilan.

“Turut diberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Guru Kafa Tulen sebanyak RM884,500, guru-guru ini gaji mereka agak rendah jadi daripada bantuan zakat kita tahun ini mereka diberikan bantuan ini.

“Sementara itu, bagi tempoh bulan Januari hingga Disember  2022, MAINS telah berjaya mengagihkan dana zakat berjumlah RM159.3 juta terdiri daripada seramai 46,761 penerima meliputi bantuan asnaf fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, amil dan gharimin,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Ramah Mesra MAINS Bersama Media 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya yakin kutipan zakat fitrah di Negeri Sembilan pada tahun ini akan dapat ditingkatkan selepas kadarnya ditetapkan pada tiga harga berbeza iaitu RM7, RM10 dan RM21 bagi setiap seorang.

“Di bulan Ramadan ini MAINS berusaha untuk meningkatkan kutipan zakat terutamanya zakat fitrah kerana kami telah dapat fatwa untuk zakat fitrah pada tahun ini adalah dalam tiga kadar.

“Pada tahun lepas kami telah buat saranan supaya ketiga-tiga kategori pembayaran zakat fitrah ini dilakukan secara sukarela, dengan perubahan itu kami telah berjaya meningkatkan kutipan zakat fitrah sehingga sebanyak RM1 juta

“Pada tahun ini selepas mendapat fatwa yang kita akan adakan tiga tahap zakat fitrah, saya yakin, insya-Allah dengan kerjasama, kita akan tambah kutipan zakat fitrah dengan tujuannya membantu pihak yang tidak bernasib baik,” katanya.

MAINS sebelum ini memaklumkan, penetapan tiga kadar harga zakat fitrah adalah berdasarkan kepada kajian harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di Negeri Sembilan pada kadar timbangan iaitu satu gantang Baghdad bersamaan 2.751 kilogram.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran majlis pada hari ini merupakan inisiatif bagi meraikan usaha murni warga media di Negeri Sembilan dalam memberikan liputan, publisiti dan hebahan ke atas setiap program serta aktiviti yang dilaksanakan oleh MAINS.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya