BACHOK: Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak terbakar di Kampung Beris Lalang di sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu tidak melibatkan sebarang nyawa.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zamizi Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.22 petang.
Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Tok Bali (Pasir Puteh) dan Kota Bharu telah dikejarkan ke lokasi untuk kerja-kerja memadam kebakaran serta menyelamat.
“Setiba di lokasi kejadian, kami dapati sebuah lori tangki yang membawa minyak sedang terbakar 100 peratus.
“Pada masa sama, kebakaran tersebut turut melibatkan kabel elektrik,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd. Zamizi memberitahu, api berjaya dikawal pada pukul 5.54 petang.-UTUSAN