Lelaki OKU dipenjara, didenda selepas mengaku kemuka dokumen palsu - Utusan Malaysia

Lelaki OKU dipenjara, didenda selepas mengaku kemuka dokumen palsu

J. Vasantha Kumaran dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan mengemukakan penyata pendapatan palsu untuk permohonan EPC.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas penyelia keselamatan tapak binaan dihukum penjara 30 hari dan didenda sebanyak RM24,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengemukakan penyata pendapatan palsu untuk permohonan Elaun Pekerja Cacat (EPC) pada 2019.

Tertuduh, J. Vasantha Kumaran, 39, yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda boleh dipenjara lima bulan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengemukakan penyata pendapatan bulanan palsu kepada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi permohonan bantuan kewangan EPC sebanyak RM4,800 untuk tempoh bulan Disember 2019 sehingga November 2020. 

Tertuduh mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butir matan palsu iaitu telah mengemukakan penyata pendapatan bulanan palsu pada pengetahuan tertuduh adalah dimaksudkan bagi mengelirukan prinsipalnya. 

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Seremban, di sini pada 7 Oktober 2019.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman denda paling minimum kerana dia satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga iaitu menanggung seorang anak, ibu dan adik selain mempunyai masalah tangan dan kaki.

Dalam pada itu, tertuduh turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan menggunakan lima dokumen palsu untuk memohon pekerja untuk jawatan penyelia keselamatan tapak binaan di sebuah syarikat pada 2018.

Jika gagal bayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Berdasarkan pertuduhan, Vasantha Kumaran didakwa dengan curangnya menggunakan lima dokumen sebagai tulen atas namanya bagi sokongan kepada suatu permohonan pendaftaran Orang Yang Kompetem (OYK) Penyelia Keselamatan Tapak Bina bertarikh 28 Ogos 2018. 

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen yang digunakan tersebut adalah palsu. 

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.