PORT DICKSON: Seorang lelaki maut selepas ditikam menggunakan objek dalam kejadian di hadapan Medan Selera Lukut, di sini, malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden, Muhamad Mustafah Hussin berkata, kira-kira pukul 7.35 malam semalam, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menerima panggilan dari orang awam yang memberi maklumat tentang kejadian berkenaan.
“Sejurus menerima maklumat tersebut pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang telah terbaring di atas jalan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah. Pada pukul 7.55 malam, petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Lukut telah tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa yang berusia 38 tahun telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar dan bedah siasat diadakan pada pagi ini bagi menentukan sebab kematiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat mengesan suspek yang terlibat.
“Siasatan kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. Pihak polis memohon kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan,” jelasnya lagi.-UTUSAN.