Kanak-kanak kudung bersemangat kembali ke sekolah - Utusan Malaysia

Kanak-kanak kudung bersemangat kembali ke sekolah

MUHAMMAD DURRANI FARIS NOR ARIFIN (bertongkat) ditemani bapanya menerima bantuan persekolahan pada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Empire Project di AEON Mall, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang kanak-kanak yang kudung kaki kirinya tetap bersemangat dan teruja untuk kembali ke sekolah yang akan dibuka esok.

Muhammad Durrani Faris Nor Arifin, 11, yang menghidap kanser tulang atau ‘osteosarcoma’ tidak sabar bertemu rakan-rakannya walaupun tidak lagi aktif seperti dahulu.

Anak kedua daripada lima beradik itu terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki kiri pada 3 Januari tahun lalu bagi mengelakkan keadaan kesihatan bertambah buruk.

“Saya tamat menjalani rawatan kemoterapi pada tahun lalu dan berharap dapat bersekolah seperti biasa di sebuah sekolah di Mersing. Keluarga banyak memberi semangat terutamanya ayah dan ibu yang mahu melihat saya berjaya dan saya ingin mengejar cita-cita menjadi angkasawan,” katanya ketika ditemui pada Program Kembali ke Sekolah anjuran Empire Project di Aeon Mall, di sini hari ini.

Muhammad Durrani Faris kini terpaksa bergantung dengan tongkat untuk bergerak, namun tetap cekal menempuhi alam persekolahan.

Bapanya, Nor Arifin Md. Anuar,  36, terharu melihat anaknya yang kuat semangat dan berfikiran positif bagi menjadi insan yang berjaya pada masa depan dan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Dia adalah seorang anak yang kuat semangat, berkeyakinan diri dan tanpa paksaan, dia sendiri mahu ke sekolah. Kami sentiasa memberi fokus terhadap perkara yang baik dan membawanya ke tempat awam supaya dapat membuang rasa malu dan mesra dengan persekitaran,” katanya.

Pengasas Empire Project, Mohd. Ashraff Khan Md. Najib berkata, seramai 8,000 kanak-kanak di seluruh negara terpilih menerima baucer untuk membeli-belah bagi  kelengkapan persekolahan. 

Para penerima terdiri daripada penghidap barah, anak pesakit barah selain golongan keluarga B40, Orang Asli dan di kawasan pedalaman.

“Kami berkolaborasi dengan beberapa NGO dan selain menerima penajaan daripada syarikat Agromate Holdings Sdn. Bhd.,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya