Kaji naikkan tapak menara telekomunikasi, elak terjejas banjir - Utusan Malaysia

Kaji naikkan tapak menara telekomunikasi, elak terjejas banjir

FAHMI FADZIL melawat sambil beramah mesra dengan peserta kursus komputer di Pusat Ekonomi Digital Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengkaji untuk menaikkan paras tapak menara telekomunikasi, khususnya di kawasan kerap terjejas banjir bagi memastikan perkhidmatan internet tidak terjejas sekiranya bencana itu berlaku.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu terbukti berkesan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melakukan perkara sama melibatkan 40 menara telekomunikasi di Kelantan dan Terengganu, sebelum ini.

“Ini kita lihat telah berjaya dilakukan di negeri kerap dilanda banjir seperti Kelantan dan Terengganu. Jadi untuk Johor, kita telah arahkan SKMM untuk pastinya berapa banyak menara yang perlu dinaikkan ketinggiannya.

“Langkah ini diambil supaya sekiranya bencana banjir berlaku lagi, akses terhadap talian komunikasi dapat diteruskan khususnya di kawasan-kawasan terjejas banjir,” katanya selepas menyantuni mangsa banjir di Dewan Raya Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.

Fahmi memaklumkan lebih separuh daripada 160 menara telekomunikasi yang terkesan akibat banjir di Johor telah kembali berfungsi dengan baik.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memberitahu, SKMM telah diminta untuk bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi memastikan proses pembelajaran dapat dimulakan dengan sebaiknya termasuk di kawasan masih terjejas banjir.

“SKMM akan bekerjasama dengan JPNJ untuk kita kenal pasti sekolah-sekolah yang terkesan dan jumlah populasi di kawasan tersebut untuk memastikan tidak ada masalah rangkaian dalam memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) tidak terjejas,” katanya.

Diminta mengulas insiden kumpulan popular Indonesia, Radja Band yang menerima ancaman bunuh selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Sabtu lalu, Fahmi menegaskan pihaknya memandang serius aspek keselamatan melibatkan golongan artis termasuk penggiat seni luar negara kerana Malaysia mengamalkan dasar ‘open to business’ termasuk menerima kunjungan artis luar.

“Kita serahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan dimaklumkan ada beberapa individu telah ditahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya