JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak banyak berubah walaupun mencatatkan sedikit peningkatan menjadi 44,937 orang melibatkan 13,730 keluarga yang ditempatkan di 172 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, setakat pukul 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 44,442 orang daripada 12,538 keluarga pada pukul 12 tengah malam tadi di Segamat, Mersing, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.
“Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas dengan seramai 39,737 mangsa daripada 11,104 keluarga di 114 PPS, diikuti Muar dengan 2,785 mangsa, Tangkak (1,662), Segamat (706) dan Mersing (47),” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, jumlah korban kekal lima orang, iaitu seorang mangsa maut selepas kenderaan dinaiki dihanyutkan arus deras, manakala empat yang lain dilaporkan mati lemas.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan tiada amaran hujan lebat berterusan pada hari ini.
Sebanyak lapan sungai yang berada di kategori paras air berbahaya mulai menunjukkan trend penurunan, iaitu Sungai Muar di Muar serta Sungai Bekok, Sungai Sembrong, Sungai Simpang Kanan dan Sungai Simpang Kiri di Batu Pahat.
Sebanyak 17 laluan masih ditutup untuk semua jenis kenderaan di lapan daerah, antaranya ialah Jalan Pogoh, Segamat; Jalan Muar-Labis, Muar; Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram, Kulai dan Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang. – UTUSAN