JPNP hapus dua hektar kebun halia Bentong haram - Utusan Malaysia

JPNP hapus dua hektar kebun halia Bentong haram

TINJAUAN di kawasan pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Tinggi di Bentong, Pahang mendapati kira-kira 2,500 perdu halia Bentong dimusnahkan dan digantikan dengan 250 pokok balak spesis merawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengambil tindakan segera menghapuskan penanaman haram halia Bentong yang dikesan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Tinggi, di sini.

Pencerobohan tanah seluas sekitar dua hektar itu dikatakan sudah dikesan sekitar dua bulan lalu dengan penemuan laluan masuk kira-kira 500 meter menuju kebun berkenaan melalui aliran anak Sungai Tanglir.

Hasil tinjauan di tapak pencerobohan itu mendapati kawasan kebun yang sebelum ini dipenuhi tanaman halia Bentong sebanyak kira-kira 2,500 perdu termasuk tanaman sayuran lain sudah diganti dengan 250 pokok balak spesis merawan.

Selain itu, terdapat juga kesan tapak kayu dan lokasi yang menjadi tempat tinggal warga asing yang mengusahakan kebun haram berkenaan dimusnahkan.

Difahamkan sebanyak tiga buah pondok dibina di kawasan berkenaan yang mana penghuninya menjadikan air bukit sebagai sumber utama minuman dan memasak selain bagi menyiram tanaman yang diusahakan.

Pengarah JPNP, Datuk Dr. Mohd. Hizamri Mohd. Yasin berkata berdasarkan siasatan, JKNP mengesan aktiviti pemasangan paip di alur air anak Sungai Tanglir untuk mengambil air dari Hutan Simpan Kekal tanpa kebenaran JPNP.

Ia sekali gus katanya, membawa kepada penemuan aktiviti pencerobohan haram untuk tujuan pertanian yang disyaki didalangi oleh penduduk tempatan.

“Susulan itu, pihak JPNP bertindak memusnahkan paip air yang dipasang selain mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan baharu tanpa permit,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mohd. Hizamri lagi, tindakan diambil melalui operasi bersepadu Unit Penguatkuasa JPNP Zon Pahang Barat bersama Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong, polis, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (PDTB) dan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) pada 27 Februari lalu.

Beliau dalam pada itu menegaskan kegiatan pencerobohan haram itu tidak ada kaitan dengan kejadian banjir lumpur di Jalan Lama Gombak-Bentong, bulan lalu.

Katanya, terdapat sedikit runtuhan tanah dan batu di kawasan aliran air dalam kawasan pencerobohan namun bukan menjadi punca kepada banjir kilat.

“Bencana itu sebenarnya berpunca daripada hujan yang sangat lebat berlaku secara berterusan dalam tempoh lebih kurang tiga jam. Rekod taburan hujan sebanyak 67.5 milimeter (mm) dalam tempoh itu dikategorikan sangat lebat dan boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak JKNP akan meningkatkan pemantauan di kawasan HSK Bukit Tinggi yang berkeluasan kira-kira 3,900 hektar berkenaan bagi mengelak kegiatan pencerobohan untuk aktiviti pertanian terus berlaku.

“Kemudahan pemantauan hutan oleh Remote Sensing (FMRS) dan dron turut digunakan bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar dimasuki. Tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 terhadap pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya