Jalaluddin tekad bawa UMNO Negeri Sembilan ke fasa baharu - Utusan Malaysia

Jalaluddin tekad bawa UMNO Negeri Sembilan ke fasa baharu

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahu membawa UMNO Negeri Sembilan ke fasa baharu dan memastikan parti kembali meraih sokongan rakyat.

Itu merupakan tekad Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, tanggungjawab yang diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepadanya itu itu disifatkan sebagai amanah yang cukup besar.

“Ini bukan satu tanggungjawab yang kecil. Jawatan ini dipakejkan sekali dengan satu amanah yang cukup besar terutamanya di waktu UMNO Negeri Sembilan akan berhadapan dengan pilihan raya negeri dalam masa beberapa bulan yang akan datang ini.

“Insya-Allah saya akan membawa UMNO Negeri Sembilan ini ke satu fasa yang baharu, dan matlamat utama saya sudah pasti mahukan UMNO kembali meraih sokongan dan relevan di kalangan rakyat.

“Matlamat ini pasti tidak akan dapat dicapai jika saya bergerak secara ‘silo’. Sudah pastinya saya perlukan sokongan dan kerjasama daripada semua kepemimpinan UMNO di lapan bahagian di Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid sewaktu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur petang tadi memaklumkan pelantikan tersebut.

Jawatan berkenaan sebelum ini dipikul oleh Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut diumumkan pelantikan Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang kini disandang oleh Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Hasim Rusdi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN