MUAR: Seorang warga emas terpaksa menahan kesejukan apabila terendam dalam air banjir setinggi hampir semeter apabila kediamannya di Kampung Terus Panchor, di sini dimasuki banjir.
Menceritakan detik cemas itu, anaknya, Norisan Ali, 51, berkata, ibunya Esah Md. Yatim, 83, yang menetap bersendirian hanya duduk di bangku kediamannya sambil menantikan kedatangan ahli keluarga untuk menyelamatkannya, kelmarin.
“Sebelum masuk kerja pagi kelmarin, saya sempat telefon emak tanya keadaan rumahnya ada banjir atau tidak, tetapi emak kata tiada apa. Jadi, saya pergi kerja seperti biasa sehinggalah pada tengah hari, adik telefon beritahu rumah emak dah naik air.
“Saya kemudian bergegas telefon suami yang baru selesai kerja syif malam minta datang ke rumah emak tengok keadaannya. Masa suami sampai katanya, emak hanya duduk di kerusi dalam keadaan air banjir yang mulai naik sehingga separuh tubuhnya.
“Kata emak dia tak dapat nak berbuat apa-apa, hanya duduk dan tunggu bantuan daripada anak-anak. Alhamdulillah, mujur tiada apa-apa yang berlaku pada emak,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh, di sini hari ini.
Menurut Norisan, suaminya segera menyelamatkan beberapa barangan penting termasuk peralatan elektrik sebelum membawa warga emas itu keluar.
Kediaman ibunya jarang berlaku banjir dengan yang paling buruk pada tahun 2006.
“Kalau musim tengkujuh pun biasanya air naik sampai buku lali. Jadi, apabila tengok hujan berterusan terfikir nak telefon emak dan saya sangkakan kalau banjir pun mungkin tak setinggi mana.
“Rupanya dalam tengah hari air melimpah laju masuk ke rumahnya, emak pula hanya duduk di kerusi sebab tahu ahli keluarganya akan sampai. Tapi tak sangka air naik cepat masuk ke kediaman sampai emak pun berendam bersama banjir,” katanya yang bersyukur kerana ibunya selamat selain dokumen penting dan beberapa barang berharga sempat diselamatkan. – UTUSAN










