[DUN] PBT perlu ada ihsan tangani peniaga tepi jalan - Utusan Malaysia

[DUN] PBT perlu ada ihsan tangani peniaga tepi jalan

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR menjawab soalan pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil sikap ihsan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan melibatkan golongan peniaga kecil di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, itu kerana pihaknya kerap mendapat aduan tentang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap golongan berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dengan ihsan dan bertanggungjawab.

“Saya menerima aduan daripada peniaga kecil di tepi-tepi jalan, ada mak cik yang sudah berniaga di kawasan tersebut selama 10 tahun tanpa mempunyai permit.

“Namun, satu hari penguat kuasa PBT hadir dan terus mengangkut barang perniagaan mereka, saya rasa tindakan lebih sesuai adalah memberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas lain diambil,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Jafni berkata, peniaga tersebut bukan golongan mewah, sebaliknya mereka memilih kerjaya itu untuk mendapatkan pendapatan bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.

“Ramai juga daripada mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas kehilangan kerja semasa pandemik Covid-19 lalu. Jika mereka tidak berniaga kecil-kecilan, adakah kerajaan mampu menyediakan RM1,500 sebulan sebagai pendapatan minimum golongan berkenaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah melaksana dan menyelaras beberapa penempatan penjaja dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan keselamatan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBIP 2020.

“Antara lokasi itu termasuk di Taman Seri Orkid, Taman Universiti, Taman Perling, Taman Teknologi dan Taman Nusantara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN