[DUN] Kurang mahir baca jawi, ramai calon peguam syarie Johor gagal - Utusan Malaysia

[DUN] Kurang mahir baca jawi, ramai calon peguam syarie Johor gagal

MOHD. FARED MOHD. KHALID menjawab soalan pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah pengambilan peguam syarie di negeri ini berkurangan saban tahun disebabkan calon-calon lemah dalam membaca tulisan jawi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, akibat kelemahan tersebut, mereka sukar memahami kehendak soalan, khususnya melibatkan peperiksaan bertulis.

“Punca lain adalah disebabkan calon salah merujuk peruntukan seksyen. Contohnya, kesalahan umum di bawah undang-undang Islam negeri lain sedangkan peperiksaan tersebut mengenai undang-undang Islam negeri Johor.

“Bagi menangani masalah itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil inisiatif melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan-soalan tahun lepas sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan,” katanya menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, calon yang berminat mendapatkan buku soalan tersebut boleh mendapatkannya menerusi medium yang akan diumumkan MAINJ dalam masa terdekat.

 

“Dalam pada itu, MAINJ turut mencadangkan supaya Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon-calon peguam syarie di negeri ini.

“MAINJ sebelum ini telah menetapkan bahawa calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temuduga. 

“Bagi peringkat temuduga pula, calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke dalam Jawatankuasa Peguam Syarie untuk dibentangkan. Jika lulus, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk mendapatkan pengesahan lantikan,” jelasnya.

Untuk rekod, seramai 87 calon telah memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lalu, namun hanya seorang calon yang lulus.

Mohd. Fared turut memberitahu, seramai 192 peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor setakat ini.

“Peguam Syarie negeri Johor diterima masuk berdasarkan kaedah-kaedah peguam syarie negeri Johor 2015 dan dinilai berdasarkan tiga tahap, iaitu kelayakan berdasarkan Kaedah 9 Kaedah Peguam Syarie, peperiksaan bertulis dan temuduga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya