KULAI: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pemandu bas, bulan lalu.
Tertuduh, S. Hariprasat, 32, dan M. Kali, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan ugutan jenayah dengan tujuan mendatangkan cedera dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepada Zaihan Zainon, 32.
Kejadian itu didakwa dilakukan di tepi jalan Batu 21, Kulai Besar pada pukul 8.15 pagi, 24 Februari lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohammad Dzulkhairi Saat menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh, namun dibantah peguam bela, Amarpreet Singh yang mewakili Hariprasat yang memberitahu anak guamnya merupakan seorang pemandu lori dan mempunyai tanggungan seorang isteri dan ibu bapa, manakala Kali yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak diwakili peguam bela menghidap sakit jantung.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 3 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN