Cuaca buruk: MPPD tidak galak aktiviti perkhemahan di pantai - Utusan Malaysia

Cuaca buruk: MPPD tidak galak aktiviti perkhemahan di pantai

PENGUNJUNG berkhemah pada musim cuti sekolah di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menasihat dan tidak menggalakkan pengunjung untuk menjalankan aktiviti perkhemahan di pantai-pantai awam di daerah ini susulan hujan berterusan sejak semalam. 

Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, setakat ini terdapat empat tapak perkhemahan yang berada di sekitar pantai di Port Dickson.

“Kalau pantai awam kami tidak menggalakkan untuk berkhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pengusaha PD Mayangsari Campsite Port Dickson, Darrel Lim ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menutup sementara tapak perkhemahan itu sehingga esok susulan cuaca buruk.

“Keadaan tapak perkhemahan masih baik cuma kami bimbang hujan akan semakin teruk. Oleh itu, saya telah memaklumkan perkara ini kepada pengunjung yang akan mendaftar hari ini dan esok. 

“Setakat ini, sembilan pelanggan akan menginap di tapak perkhemahan ini, namun selepas pemberitahuan tersebut, hanya seorang sahaja pelanggan yang akan menginap manakala dua lagi mengembalikan tempahan dan enam lagi menangguhkan penginapan mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai pengusaha tapak perkhemahan pihaknya sentiasa peka dengan amaran cuaca buruk.

“Sebelum ini, terdapat kes pokok tumbang disebabkan angin ribut dan kejadian air pasang besar sehingga menyebabkan seluruh tapak perkhemahan dinaiki air pada tahun lalu,” katanya. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya