Buat apa yang kita bagus – Tok Mat

Buat apa yang kita bagus – Tok Mat

Mohamad Hasan bersama Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (dua dari kanan) pada Majlis Pengumuman Dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2022 dan Penyampaian Hadiah Caburan Bertuah Aplikasi MyWira di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) perlu fokus kepada apa yang terbaik dilakukannya untuk menjamin keuntungan yang berterusan demi manfaat para pencarumnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, LTAT tidak boleh melupakan asas penubuhan memandangkan banyak agensi atau syarikat pelaburan yang sudah tersasar kerana melakukan perkara yang berada di luar kemampuannya.

“Banyak agensi atau syarikat besar tapi tutup, maksud saya mereka baik dalam teras perniagaan mereka, tetapi mempelbagaikan benda yang bukan mereka punya teras perniagaan.

“Belum terlambat lagi untuk kita memperbetul kemudi hala tuju dan falsafah perniagaan kita. Kita mempunyai amanah dan tanggungjawab besar mengurus tabung anggota tentera.

“Jangan terlampau mengejar sesuatu, tidak perlu. Kita buat apa yang kita bagus dan apa yang kita tahu agar kalau ada apa-apa berlaku kita boleh cari jalan keluar,” katanya dalam Majlis Pengumuman Dividen 2022 dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di Menara Chulan, di sini semalam.

Sebelum itu, LTAT mengumumkan kadar dividen sebanyak lima peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM476.45 juta bagi tahun 2022. Pengkreditan dividen 2022 telah diagih kepada 122,935 pencarum pada 10 Mac lalu.

Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, kadar dividen itu menandakan peningkatan berbanding 2021 sebanyak 4.1 peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM379.42 juta.

Mengulas lanjut, kata Mohamad, LTAT juga diingatkan supaya tidak mendedahkan tabung kepada risiko tinggi yang akhirnya menyebabkan prinsipal tidak terjamin.

“Jangan letakkan kesemua telur di dalam satu bakul, kalau ada apa-apa nanti susah.

“Belajar daripada apa yang telah berlaku sebelum ini, kita mesti mengambil iktibar dari sejarah, supaya kita tidak mengulangi perkara-perkara yang memudaratkan seperti apa yang dilalui oleh organisasi atau orang sebelum kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN