KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau masih belum nampak agenda membangunkan bumiputera disebutkan secara jelas dalam dasar Malaysia Madani mahupun dalam mana-mana komitmen kerajaan campuran hari ini.
Sedangkan, tegas bekas Perdana Menteri itu, agenda bumiputera mesti sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dan tidak boleh dikompromi sama sekali.
Beliau berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan secara terperinci tentang kedudukan dasar dan agenda bumiputera dalam dasar pembangunan negara yang dirangka.
IMPAK
Katanya, kajian impak berkaitan status pencapaian syarikat bumiputera dalam pelbagai bidang ekonomi yang telah dibantu serta menerima manfaat daripada pakej dan inisiatif kerajaan juga perlu dibentang.
Jelasnya, usaha memperkasakan bumiputera perlu dipergiat menerusi pembiayaan dan pelaksanaan program keusahawanan seperti Dana Kemakmuran Bumiputera.
“Ini kerana, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), antara penekanan yang diberikan termasuklah sasaran pertambahan sumbangan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera sebanyak 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini termasuk memperinci pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan serta mekanisme pemantauan selaras dengan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.
TERBURU-BURU
Muhyiddin menyifatkan kerajaan hari ini mengambil pendekatan terburu-buru dalam menggantikan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (DWKB2030) dengan konsep baharu Malaysia Madani yang masih belum jelas perancangannya.
“Agenda bumiputera sebenarnya telah diberi penekanan khusus dalam DWKB2030 (2020-2030) sebagai kesinambungan dasar-dasar kerajaan terdahulu iaitu Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000),” katanya.
Mengenai subsidi bersasar, Muhyiddin berkata, masih tiada mekanisme kukuh dalam pelaksanaannya meskipun Perdana Menteri sering menyebut tentang iltizam kerajaan untuk mengambil pendekatan progresif dalam aspek subsidi bersasar.
“Klasifikasi subsidi harus disemak semula secara teliti untuk mengurangkan bebanan fiskal negara. Contohnya, subsidi bahan input seperti baja boleh dikekalkan, namun subsidi menyeluruh terhadap output seperti bahan api haruslah diselaraskan dengan harga semasa global,’’ katanya.
Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan meluluskan peruntukan segera sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang yang kawasan mereka dilanda banjir ketika ini.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua Ahli Parlimen untuk bersama-sama membantu mereka dalam menghadapi bencana alam ini tanpa mengira perbezaan parti politik.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang meluluskan segera peruntukan RM50 juta ke negeri Johor tetapi saya cadangkan ia dinaikkan kepada RM100 juta kerana keadaan banjir pada kali ini amat teruk,” katanya. – UTUSAN










