Banjir: Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Banjir: Sembilan PPS dibuka di Negeri Sembilan

MANGSA banjir yang ditempatkan di PPS SAR Jelai, Gemas, Tampin, hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Negeri Sembilan akibat banjir susulan hujan berterusan sejak semalam.

Daripada keseluruhan jumlah PPS berkenaan, empat dibuka di daerah Tampin iaitu di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Jelai, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gedok, PPS SK Pasir Besar dan SK Felda Sungai Kelamah.

Tiga lagi PPS telah dibuka di daerah Jempol iaitu di SK Palong 1 dan SK Palong 7 serta di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sialang, Bahau. Di Kuala Pilah pula, dua PPS dibuka iaitu Dewan Desa Dangi dan di SK Pilah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Mohd. Fadhil Hassan berkata, sehingga pukul 6 petang tadi, seramai 46 mangsa banjir dari tujuh buah keluarga telah ditempatkan di PPS SAR Jelai.

“Manakala, data di PPS lain masih lagi sedang dikumpulkan. Keadaan masih hujan dan semua agensi telah bersiap sedia di lapangan, penduduk juga diminta bersiap sedia jika diarahkan untuk berpindah,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, sebanyak sembilan buah keluarga melibatkan 26 orang mangsa di Kampung Air Taling dan Kampung Tulang Rimau, Kuala Pilah yang terjejas akibat banjir kilat dipindahkan ke PPS Dewan Desa Dangi pada pukul 6.40 petang tadi. 

“Selain itu, terdapat tujuh buah keluarga dari Kampung Air Taling, satu keluarga dari Kampung Tulang Rimau dan sebuah lagi keluarga dari Simpang Dangi telah dipindahkan ke bangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dangi kerana laluan terputus,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Mejar (PA) Shamil Ithman berkata, seramai 42 mangsa banjir telah ditempatkan di PPS SK Palong 7 di Jempol manakala 29 mangsa lagi ditempatkan di PPS SK Palong 1.

Katanya, kedua-dua PPS berkenaan telah dibuka pada pukul 2.12 petang dan 4.18 petang tadi.

Di PPS SJKT Ladang Sialang pula, tiga buah keluarga ditempatkan di situ yang melibatkan tujuh orang mangsa banjir.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN