Azalina nafi terlibat pelantikan semula Peguam Negara - Utusan Malaysia

Azalina nafi terlibat pelantikan semula Peguam Negara

AZALINA OTHMAN SAID ditemui selepas melancarkan Program Celik Kewangan, Klinik Insolvensi dan Klinik Bantuan Guaman di Dewan Semai Bakti, Felda Tunggal, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan terlibat dalam pelantikan semula Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara.

Beliau berkata, keputusan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bawah Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Saya secara peribadi tidak terlibat dalam proses menyambung semula Peguam Negara. Keduanya, Peguam Negara bertanggungjawab ke atas Perdana Menteri bukan kepada saya walaupun saya Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.

“Ketiganya, saya hendak tekankan bahawa mungkin Perdana Menteri ada alasan sendiri untuk sambung khidmat Peguam Negara. Bagi saya sebenarnya yang kita perlu lihat mungkin bagi saya ialah saya tak tahu ia mungkin alasan kerja belum selesai.

“Saya menafikan saya terlibat dan tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Celik Kewangan, Klinik Insolvensi dan Klinik Bantuan Guaman di Dewan Semai Bakti, Felda Tunggal, dekat sini hari ini.

Terdahulu, Idrus yang sebelum ini merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik semula sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 Mac ini.

Beliau dilantik sebagai Peguam Negara secara kontrak selama dua tahun bagi menggantikan Tan Sri Tommy Thomas bermula 6 Mac 2020 sebelum disambung setahun lagi bermula 6 Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Azalina yang merupakan Ahli Parlimen Pengerang memaklumkan pindaan terhadap Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) dijangka akan dibawa dalam sesi Parlimen pada awal April ini.

Katanya, pindaan itu akan dapat menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan di negara ini menyasarkan pelepasan 130,000 orang daripada 290,000 kes yang majoritinya adalah golongan belia Melayu.

“Kita kena buat pindaan pada akta ini, dahulu pun banyak pindaan sudah dibuat kali ini buat pindaan sekali lagi sebab hendak lepaskan orang bankrap bukan sewenangnya dilakukan pihak kerajaan dengan akan ada kesan kredit rating dalam bank negara.

“Masalah sekarang bank negara membantah kerana jika dilepaskan dengan mudah, ramai orang pinjam duit tidak akan bayar. Bagi saya kena terima hakikat, pihak pemiutang kena munasabah sedikit kerana bila bankrap banyak benda tidak boleh buat,” katanya.

Azalina turut memaklumkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) juga akan dikaji semula dan diwujudkan melalui satu akta khusus seperti di Singapura, iaitu akan ditambah baik untuk memberi bantuan khidmat guaman bagi kes jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya