34 notis kepada pengendali makanan minggu pertama Ramadan di Pahang - Utusan Malaysia

34 notis kepada pengendali makanan minggu pertama Ramadan di Pahang

NOR AZIMI Yunus (tengah) ketika berkunjung di salah sebuah gerai di Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Sebanyak 34 Notis Memerintah Kehadiran Ke Mahkamah di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan kepada pengendali makanan sepanjang minggu pertama Ramadan ini membabitkan nilai keseluruhan kompaun RM3,500.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 892 gerai dan 1,784 pengendali makanan Bazar Ramadan di seluruh negeri ini diperiksa oleh Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah.

“Antara kesalahan dikesan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983 ialah 24 kesalahan di bawah Peraturan 32 iaitu pengendali makanan tidak memakai topi, apron dan kasut semasa mengendalikan makanan.

“Selain itu, terdapat lima kesalahan di bawah Peraturan 33 di mana pengendali makanan didapati gagal memastikan kuku sentiasa pendek dan memakai perhiasan diri ketika mengendalikan makanan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Peringkat Negeri bertempat di Tapak Bazar Ramadan Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Menurut Nor Azimi berkata, sebanyak 30 sampel makanan sedia dimakan diambil pada minggu pertama Ramadan dan sudah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Pahang bagi analisis mikrobiologi.

“Setakat ini, keputusan bagi 30 sampel tersebut belum diterima. Pensampelan dan pemeriksaan premis makanan akan diteruskan pada minggu-minggu berikutnya,” katanya.

Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya di bawah seksyen sama.

Selain itu menurutnya, sebanyak 17 buah kilang ais turut diperiksa dan 13 notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai RM8,650 kerana pemilik gagal mengadakan dan menyediakan Program Jaminan Keselamatan Makanan.

“Pemilik yang dikenakan tindakan itu juga didapati tidak mengadakan sistem kebolehkesanan makanan dan pengendali makanan tidak mengenakan apron semasa mengendalikan ais,” ujarnya.

Tambahan lagi, penggunaan kod QR Aduan Kebersihan dan Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan juga turut diperluaskan di seluruh lokaliti bazar Ramadan di Pahang sebagai medium bagi memudahkan orang awam menyalurkan sebarang aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan di bazar Ramadan.

“Sepanjang bulan Ramadan juga, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan Operasi Ramadan yang melibatkan pemeriksaan gerai di Bazar Ramadan dan pensampelan makanan sedia untuk dimakan di 75 lokaliti Bazar Ramadan dengan jumlah premis makanan sebanyak 3,799 premis di seluruh negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya