100 hari: Ahmad Zahid puas hati prestasi menteri, timbalan menteri UMNO - Utusan Malaysia

100 hari: Ahmad Zahid puas hati prestasi menteri, timbalan menteri UMNO

AHMAD ZAHID Hamidi (kiri) bersalaman dengan Datuk Mohamad Nizar Najib pada Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Pahang di sini Genting Highlands di Bentong, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan prestasi menteri dan timbalan menteri parti itu selepas 100 hari pentadbiran kerajaan Perpaduan pimpinan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk 100 hari pentadbiran kerajaan Perpaduan, bukan sahaja kementerian-kementerian malah menteri dan timbalannya perlu membentangkan prestasi masing-masing.

“Bagi menteri-menteri dalam UMNO yang duduk dalam jemaah menteri dan timbalan menteri, saya secara rasmi memantau mereka.

“Pemantauan bukan sahaja membabitkan jawapan di Dewan Rakyat, tetapi kenyataan media yang dikeluarkan di media konvensional mahupun secara dalam talian.

“Walapun tidak dimaklumkan tetapi saya mempunyai kaedah memantau mereka kerana imej mereka dan imej saya adalah imej parti.

“Kita pastikan agar harapan rakyat dan akar umbi prestasi menteri dan timbalan menteri diperlihatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, lantikan ahli atau profesional mewakili parti politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di bawah pengetahuan dan tapisan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap parti yang membentuk kerajaan akan melakukan perundingan di bawah sekretariat itu terlebih dahulu sebelum sebarang pelantikan dimuktamadkan.

“Bagi mengelak konflik, kita melakukan perundingan malah sebelum sesuatu pelantikan dibuat sekretariat ini akan memperincikan dahulu latar belakang individu berkenaan.

“Ini dibuat agar tokoh-tokoh mewakili parti politik yang diketengahkan mempunyai pengalaman dan latar belakang yang mampu menguatkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya