Warga Indonesia mengaku salah tipu warga emas beli batu delima merah - Utusan Malaysia

Warga Indonesia mengaku salah tipu warga emas beli batu delima merah

SALIM (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas tuduhan menipu warga emas untuk membeli batu merah delima yang kononnya bernilai tinggi di Jelebu pada Disember tahun lalu.-UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang lelaki warganegara Indonesia mengaku salah di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini hari ini atas tuduhan menipu warga emas untuk membeli batu delima merah yang kononnya bernilai tinggi di Jelebu pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Salim, 44, yang berasal dari Tanjung Pinang, Medan, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti. 

Berdasarkan pertuduhan, pada 9 Disember tahun lalu, kira-kira pukul 10 pagi, tertuduh telah menipu warga emas perempuan berusia 68 tahun dengan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM12,500.

Ia bagi tujuan pembayaran batu delima merah yang dikatakan bernilai tinggi dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit. Kesalahan tersebut dilakukan di tempat letak kereta Pasar Awam Kuala Klawang, Jelebu.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam rayuannya memberitahu kesal dengan perbuatannya dan memaklumkan dia merupakan ketua keluarga dan perlu menanggung tiga anaknya berusia 18, 10 dan lapan tahun.

Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lapan bulan dari tarikh sabitan beserta tiga sebatan dan denda RM8,000.

Difahamkan, tertuduh baru sahaja terlibat dalam kumpulan penipuan menjual batu delima merah itu pada penghujung tahun lalu dan telah masuk ke negara ini sebagai pelancong.-UTUSAN.

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.