Ulat parkir kenakan caj RM20 dicekup - Utusan Malaysia

Ulat parkir kenakan caj RM20 dicekup

POLIS menahan beberapa individu yang sedang menjaga petak parkir di Taman Sentosa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegiatan ulat parkir haram di pusat bandar raya ini dilihat semakin menjadi-jadi sehingga mendatangkan ketidakselesaan kepada orang ramai berkunjung ke kawasan tumpuan pada waktu malam.

Kehadiran ulat parkir haram ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengunjung yang risau kenderaan mereka dicalar atau dirosakkan sekiranya tidak membuat bayaran kepada mereka.

Kegiatan kumpulan ini semakin berleluasa sehingga ada yang meletakkan kon di ruang parking yang dikhaskan kepada pengguna berbayar sahaja.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai tentang perkara tersebut.

Katanya, kumpulan itu mengenakan caj parking sehingga RM20 bagi petak parking yang bukan kawasan milik mereka.

“Sekiranya itu perkhidmatan valet parking, itu tidak menjadi masalah, namun kawasan yang diambil itu merupakan kawasan parkir awam.

“Perbuatan itu telah lama dikesan berlaku di kawasan tumpuan orang ramai khususnya kawasan yang ada pusat hiburan seperti di Taman Sentosa,” katanya selepas merasmikan Sudut Lestari MBJB di Perpustakaan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Cakna dengan isu tersebut, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor melakukan operasi khas bagi membasmi kegiatan itu yang sering terjadi di kawasan Taman Sentosa.

JSPT Johor dalam satu kenyataan memaklumkan operasi khas yang dijalankan selaras dengan Agenda Johor Selamat dalam memantapkan aspek keselamatan di negeri ini.

Dalam operasi yang dijalankan semalam, beberapa individu telah ditahan ketika menjaga kawasan parkir tersebut.

“Mereka ini menggunakan jalan mudah mengaut keuntungan dengan mengenakan caj yang tidak munasabah kepada orang awam,” demikian menurut JSPT dalam hantaran Facebooknya.

Ulat parkir yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya