PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu berhenti membazir dan mengelak berlakunya ketirisan dalam pengurusan kewangannya supaya boleh digunakan untuk kebajikan mahasiswa.
Kerugian dialami UiTM Holdings dalam pelaburan harus dijadikan iktibar oleh pengurusan universiti itu dalam berbelanja.
Baru-baru ini, universiti itu didakwa membelanjakan ratusan ribu ringgit menganjurkan program latihan selama empat hari di sebuah hotel mewah di Melaka pada 8 hingga 11 Februari lalu sedangkan universiti terbesar itu mempunyai dua buah pusat latihan iaitu Institut Pembangunan Kepimpinan (ILD).
Salah satu daripada ILD itu bertaraf global dan baru siap dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan manakala sebuah lagi kemudahan latihan terletak di Batu Gajah, Perak.
CAWANGAN
Malah, UiTM juga mempunyai cawangan di semua negeri yang lengkap dengan kemudahan dewan untuk tujuan persidangan yang boleh digunakan oleh kakitangan dan mahasiswa.
Selain program latihan, sepanjang 2022, UiTM didakwa berbelanja besar menghantar kakitangan termasuk pengurusan kanannya ke luar negara atas pelbagai tujuan seperti seminar dan menandatangani perjanjian persefahaman.
Malah, UiTM juga pada September lalu didakwa membelanjakan ratusan ribu ringgit lagi dengan menghantar 25 orang kakitangan sebagai barter trade kemenangan mereka dalam pelbagai pertandingan untuk bermain golf di Korea Selatan.
UiTM juga didakwa bakal menghantar ratusan lagi kakitangan untuk menghadiri mesyuarat di luar negara.
Persoalan mula ditimbulkan apabila universiti itu didakwa mengehadkan pembiayaan program untuk mahasiswa, selain masalah kekurangan penginapan untuk pelajar.
“Memang boleh dipertikaikan apabila UiTM dikatakan tak ada duit, pembiayaan program mahasiswa yang terhad, kekurangan hostel.
KECOH
“Bila dimuat naik dalam media sosial, semua orang tahu. Kita dalam keadaan kecoh hentam-hentam tak ada duit, kecoh mahasiswa tak makan, tak ada tempat tinggal. Kita pula boleh duduk hotel lima bintang.
“Kakitangan lain disuruh berhemah dalam berbelanja sehinggakan kebanyakan program lulus tanpa biaya yang melibatkan aktiviti pengembangan akademik pensyarah dan mahasiswa,” dedah sumber kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, ketidakcekapan pengurusan didakwa berlaku dalam pelaksanaan dasar yang dilakukan tanpa mengikut kelulusan Lembaga Pengarah Universiti (LPU).
“Meminda minit mesyuarat dianggap sebagai perkara biasa termasuklah hal di luar pengetahuan LPU. Keputusan dikatakan tidak mengikut arahan LPU.
“Misalnya penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, mereka kata sudah buat survey dan 100 peratus setuju, tetapi baru-baru ini alumni membantah, survey apa yang dilakukan?” soal sumber tersebut.
Bagaimanapun, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor menyanggah dakwaan UiTM melakukan pembaziran dan menyatakan universiti berkenaaan berjaya mewujudkan lebih 800 pemeteraian kerjasama di peringkat nasional dan antarabangsa dalam mengukuhkan matlamat untuk mencapai universiti ternama dunia.
“Pada 2022, UiTM memperoleh geran penyelidikan keseluruhan bernilai RM77.62 juta. Daripada jumlah tersebut, RM39.5 juta diperoleh untuk penyelidikan universiti tempatan, RM32.06 juta daripada industri dalam negara dan RM6.1 juta daripada institusi antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menambah, UiTM berbelanja sehingga RM3 juta untuk mewujudkan kerjasama di peringkat antarabangsa di 25 negara seluruh dunia pada tahun lalu yang secara tidak langsung memberi latihan kendiri kepada 263 pegawainya.
POSISI
“Ini adalah sebahagian daripada Projek Khas Naib Canselor (VCSP) untuk mengukuhkan posisi UiTM sebagai pemain antarabangsa dalam akademik, penyelidikan, penerbitan, mobiliti dan hubungan dengan institusi global bereputasi menjelang 2025,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Pengerusi LPU UiTM, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah mendakwa terkilan dengan laporan-laporan akhbar baru-baru ini yang mendedahkan ketirisan dan kerugian dialami sayap pelaburan UiTM sehingga ratusan juta ringgit itu.
“Kita reset, betulkan balik. Sebab nama negara sudah teruk. Begitu juga dalam konteks UiTM. Saya pun membaca akhbar angka ratusan juta ringgit rugi, perkataan ‘Mini 1MDB’. Saya memang tersinggung sebagai bekas pemimpin mahasiswa ITM.
“Sebab mereka (mahasiswa) kita kena bimbing, jaga betul-betul. Mereka adalah pemimpin masa depan,’’ katanya. – UTUSAN










