KOTA BHARU: Pas menggesa Kerajaan Perpaduan memberikan tumpuan yang lebih kepada perkara berkaitan polisi berkait dengan usaha menurunkan kos sara hidup dan bukannya ligat mempromosi Menu Rahmah.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menekankan, Menu Rahmah adalah sebuah program dan bukan satu polisi yang perlu diberikan tumpuan penuh oleh kerajaan.
“Bagi saya promosi Menu Rahmah ini bukan kerja kerajaan. Peranan kerajaan adalah membuat polisi kerana kita tidak mahu hanya satu atau dua kedai menawarkan harga murah.
“Rakyat mahu melihat harga semua barangan murah di seluruh negara. Kerana itu kita mahu kerajaan membuat, mengubah, membetulkan polisi atau mengurangkan kos,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Bangunan Asrama Tahfiz Al-Quran Al-Ikhwan di Kampung Kota, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, program seperti Menu Rahmah boleh dibuat tetapi dalam apa jua keadaan ia akan tetap bergantung kepada kos bahan mentah.
Katanya, Pas meramalkan Menu Rahmah tidak boleh bertahan lama kerana peniaga hanya boleh menawarkan harga murah dengan syarat kos bahan mentah rendah.
“Melalui Menu Rahmah ini keuntungan diperoleh peniaga mungkin sangat sedikit. Itu pun kalau mereka dapat barangan mentah dengan harga murah. Jika harga barangan terus naik, akhirnya peniaga juga tidak akan mampu meneruskan program itu.
“Tiada siapa mampu menyediakan Menu Rahmah jika harga barangan tidak dikawal, kecuali jika kerajaan memberikan subsidi kepada peniaga. Namun tetap akan timbul masalah apabila hanya sesetengah kedai mendapat subsidi,” ujarnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air bagaimanapun berkata, Pas tetap menyokong mana-mana usaha dilaksanakan kerajaan yang baik dan boleh membantu rakyat tetapi perlu diseimbangkan dengan aspek penjagaan kualiti serta tahap kesihatan.
“Dengan harga RM5 kita sudah dapat agak kualiti makanan disediakan. Kita nak desak peniaga tidak boleh juga kerana mereka perlu memikirkan soal kos untuk penyediaan bahan mentah, gaji pekerja dan sebagainya.
“Kerana itu apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali di Parlimen adalah lebih menyentuh isu keseimbangan makanan supaya elemen-elemen sepatutnya dinikmati rakyat dalam Menu Rahmah,” katanya.-UTUSAN










