DUNGUN: Sepasang suami isteri di Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini tetap menjual donut bersaiz mini dengan harga 10 sen sebiji, sejak tujuh tahun lalu.
Walaupun berdepan dengan kenaikan harga barang mentah, Idham Shafiq Darmilus, 35, dan isterinya, Edah Ali, 39, tidak menaikkan harga donut yang dijual mereka.
Idham berkata, mereka mengekalkan harga donut yang diusahakan sejak tahun 2016 bagi membolehkan penduduk sekitar terutamanya golongan kurang berkemampuan membeli dan menikmati donut dijualnya.
“Walaupun saya sendiri bukan orang senang dan bergantung sepenuhnya kepada perniagaan ini, namun masih ada lagi orang lain yang susah dan kurang berkemampuan. Sebab itu saya masih kekalkan harga jualan 10 sen sebiji donut.
“Kalau ikutkan memang saya juga terkesan dengan kenaikan harga barang. Masa mula-mula berniaga, harga tepung gandum hanya RM1.60 satu kilogram, tapi sekarang telah mencecah hingga RM3.50, begitu juga dengan barang lain seperti susu, yis dan gula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerai yang dibuka di pekarangan rumahnya di sini semalam.
TIDAK BESAR
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, meskipun memperoleh keuntungan tidak besar, namun dia mengamalkan konsep berniaga sambil beramal dan tidak memfokuskan keuntungan semata-mata.
“Gerai saya berhadapan sekolah, setiap hari saya seronok bila dapat tengok kanak-kanak membeli. Dengan duit RM1, mereka dapat 10 biji donut dan boleh dikongsikan bersama rakan-rakan,” katanya yang turut berniaga di Pantai Teluk Lipat dan sekitar bandar Dungun setiap petang dan hujung minggu.
Idham Shafiq berkata, setiap hari dia dapat menjual kira-kira 2,000 biji donut dengan menggunakan lebih 10 kilogram tepung gandum.
Dia yang turut menjual donut sejuk beku merancang untuk memperluaskan perniagaannya.
Sementara itu, salah seorang pelanggan, Zura Mat Salleh, 35, berkata, dia yang tinggal di Kampung Merchang, Marang, sanggup datang membeli di Kampung Kuala Abang meskipun jaraknya lebih 15 kilometer.
“Saya suka membeli donut yang dijual pasangan ini sebab walaupun murah, rasa donutnya sangat sedap dan lembut,” ujarnya.- UTUSAN











