PETALING JAYA: Baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai dibelanjakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan SPRM kini difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan ia diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.
Kata sumber, sebahagian daripada dana RM300 juta tersebut dipercayai dimasukkan oleh syarikat-syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN sejak 2020 hingga tahun lalu.
“Siasatan SPRM kini menjurus kepada aliran wang berkenaan sepanjang tempoh tiga tahun itu. Adakah ia digunakan sebagai kegunaan parti atau individu tertentu.
“Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu mungkin akan dibekukan dalam tempoh tiga bulan sehingga setahun bergantung kepada hasil siasatan SPRM. Setakat ini, akaun itu telah dibekukan sejak dua hingga tiga minggu lalu,” kata sumber itu semalam.
GABUNGAN
PN ialah gabungan lima parti iaitu Bersatu, Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Gabungan tersebut dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Isu penyelewengan dana kerajaan mula tercetus ketika PRU15 apabila parti-parti dalam gabungan tersebut didakwa berbelanja besar.
Sehubungan isu tersebut, sumber berkata, beberapa ahli Bersatu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.
“Terbaharu esok (hari ini) SPRM mungkin akan memanggil seorang lagi pemimpin kanan Bersatu untuk dirakam percakapan. Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan tindakan itu,” kata sumber.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan.
Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan nama-nama individu yang akan dipanggil selain tidak mahu memberi komen lanjut dengan alasan siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut.
SIASATAN
Semalam akhbar ini melaporkan, SPRM membeku akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
Pembekuan itu dilakukan apabila Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang yang dipercayai daripada dana kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, semakan dalam akaun yang dibekukan hanya menemukan wang RM40 juta manakala bakinya RM260 juta masih dijejaki.
Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian yang beliau tidak akan bertolak ansur dengan gejala rasuah dan penyelewengan di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Menerusi wawancara dengan Bloomberg di Singapura baru-baru ini, Anwar sekali lagi mengulangi perkara sama dengan berkata: “Terdapat begitu ramai pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan kedudukan mereka. Bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, sebanyak ratusan dan berjuta-juta dolar”.
Pada 29 Januari lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, siasatan SPRM berhubung dana berkenaan turut difokuskan terhadap sumber kewangan membabitkan sebuah parti politik.
Dedah akhbar tersebut, keterangan beberapa individu daripada enam agensi kerajaan diambil SPRM berhubung siasatan pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga tahun lalu.
Kata sumber itu, sebanyak lima pemilik syarikat swasta dipanggil dan disiasat termasuk seorang ketua pegawai eksekutif yang ditahan kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’.
Siasatan SPRM turut memberi fokus kepada sumber kewangan yang diperoleh sebuah parti politik yang dikatakan menerima wang berkenaan bagi tujuan pembiayaan politik.
Sepanjang tempoh itu, SPRM telah mengambil keterangan seramai 29 individu.
Dalam pada itu, Mingguan Malaysia difahamkan, ketua pegawai Eksekutif sebuah syarikat swasta yang menjadi ‘dalang’ dalam pengagihan projek itu adalah individu berkepentingan yang mempunyai kaitan dengan menantu kepada salah seorang pemimpin parti politik yang disiasat.- UTUSAN









