PETALING JAYA : Lapan individu yang terdiri daripada enam wanita dan dua lelaki berusia antara 31 dan 37 tahun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas disyaki terbabit dalam skim penipuan sapiza extra saving di empat negeri menerusi serbuan pada 27 Januari lalu.
Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan mewah, beberapa kad mesin juruwang automatik (ATM), telefon bimbit pelbagai jenama dan dokumen dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
Katanya, serbuan dilakukan selepas PDRM menerima 116 laporan di seluruh negara berhubung skim penipuan berkenaan yang melibatkan kerugian dianggar RM4.43 juta.
KUTU
Dalam satu kenyataan hari ini, Noorsiah berkata, siasatan awal mendapati skim itu mula aktif sejak 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘permainan kutu’.
Beliau berkata, pada 2021, skim tersebut mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu serendah RM250 hingga RM20,000 dengan tempoh simpanan antara dua dan lima bulan dan dijanjikan keuntungan antara 15 hingga 40 peratus.
“Bagaimanapun, sejak Oktober 2022, pengendali skim simpanan ini didapati mulai gagal untuk melunaskan pembayaran keuntungan kepada peserta,” katanya.
Pada 10 Februari lalu, skim pelaburan kutu dipercayai didalangi seorang wanita dikenali sebagai ‘Sapiza’ yang kononnya menawarkan kadar pembayaran ekstra tinggi memperdaya ribuan mangsa di seluruh negara membabitkan kerugian dianggarkan RM50 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, wanita berusia lingkungan 50-an digelar sebagai ‘ibu kutu’ dalam Skim Saving Sapiza itu turut dibantu beberapa ejen.
Katanya, skim kutu itu menawarkan kadar pembayaran ekstra tinggi dan tidak pernah dijanjikan oleh mana-mana institusi kewangan serta pelaburan sah, iaitu sebanyak 60 peratus daripada jumlah pelaburan.
Tawaran itu menarik ribuan individu termasuk yang bergelar ustaz, puluhan anggota polis dan ratusan penjawat awam.
Kira-kira 60 aduan daripada mangsa yang diterima MHO dengan anggaran RM600,000 kerugian, tetapi ramai lagi mangsa yang tidak berani tampil membuat aduan dan anggaran kerugian seluruh mangsa yang difahamkan kira-kira RM50 juta.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, semua pihak terlibat perlu mewujudkan hubungan kerjasama yang baik agar dapat melaksanakan tindakan lebih cepat dalam menangani kes seumpama itu.
Bekas ketua polis negara itu berkata, pencegahan awal adalah lebih baik daripada menanggung akibat yang teruk. – UTUSAN