PADANG RENGAS: Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan gaji bukan keutamaan beliau apabila dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) malah bersedia untuk tidak menerima gaji melaksanakan tugasan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gaji sebagai Perdana Menteri, beliau juga sedia berbuat demikian.
Namun, katanya, beliau tidak menolak jika kerajaan memberikan gaji untuk tugas duta di AS.
“Saya terima jawatan ini bukan kerana duit. Macam (bekas) duta-duta yang kata rugilah calon-calon lain tak dapat duit, mungkin gaji tinggi agaknya, saya pun macam Perdana Menteri juga saya tak perlu gaji ini, saya adalah duit sikit.
“Saya tak perlu kepada gaji, mungkin juga sebab difikirkan saya ada tugas tertentu yang boleh saya berikan, itu sebab mereka putuskan (lantik saya).
“Tapi kalau (kerajaan) nak bagi (gaji) kita ambil, saya bukan lagi ahli politik, wang bukan matlamat. Alasan mereka ialah kerana pelantikan saya menghalang pegawai-pegawai tadbir daripada mendapat jawatan itu, maknanya nak kan duit, saya tak begitu.
“Ini bukan soal gaji tapi tanggungjawab yang saya mahukan, sebab saya rasa boleh lagi dua tahun, tiga tahun memberi sumbangan kepada kerajaan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Kubang Halban di sini, semalam.
Mohamed Nazri menegaskan, pelantikan sebagai duta ke AS tidak seharusnya dipersoalkan kerana beliau bebas daripada elemen nepotisme, kronisme mahu pun favouritisme untuk jawatan tersebut.
Menurutnya, pelantikan itu tidak boleh dikatakan nepotisme kerana beliau bukan dari kalangan ahli keluarga Perdana Menteri, selain juga bukan sebagai kroni kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukan atas elemen calon pilihan atau menjadi orang kesayangan Perdana Menteri.
“Favouritisme ini maknanya kita suka orang itu, mungkin dia tak bagus kerja tapi kerana Perdana Menteri suka pada saya, beri juga (jawatan) pada saya. Ini mungkin favouritisme sebab saya kenal Perdana Menteri bukan setahun dua tapi sudah berpuluh tahun.
“Tapi penjelasan Perdana Menteri mengatakan saya dipilih bukan waktu beliau (menjadi Perdana Menteri), saya dipilih oleh Jemaah Menteri pada Februari tahun lepas, betullah Perdana Menteri kata (pemilihan) setahun lepas.
“Jemaah Menteri pilih saya, setahun lalu kemudian nama saya dihantar April tahun lepas dan pada September tahun lepas baru dilulus. Penjelasan Perdana Menteri bermakna pelantikan ini bukan berdasarkan favouritisme, bukan beliau yang pilih saya, bukan beliau yang memulakan proses pelantikan ini tapi zaman Datuk Seri Ismail Sabri, jadi jelaslah, tiada pilih kasih, terima kasih Perdana Menteri.
“Jadi saya lepas tiga-tiga elemen itu, terima kasih Perdana Menteri. Walaupun ada kritikan, pada saya yang penting Yang di-Pertuan Agong telah memberikan watikah pelantikan kepada saya dan Perdana Menteri membuat penjelasan bukan beliau yang lantik saya, jadi tak berbangkit favouritisme, kronisme tak ada, nepotisme langsung tak ada, bermakna bersihlah saya,” katanya.
Mohamed Nazri juga mendedahkan beliau ada mengadakan pertemuan dengan Anwar mengenai pelantikan sebagai Duta ke AS, Disember lalu.
“Dalam pertemuan itu, saya ada beritahu sebagai sahabat dan sebagai kawan, saya kata kalau beliau merasakan pelantikan saya ini mendatangkan beban kepada beliau, jangan lantik saya. Ini memang saya beritahu dia. Ya, saya teruja, seronok, gembira apatah lagi beliau Perdana Menteri tapi saya beritahu kalau pelantikan saya ini menjejaskan kredibiliti beliau, menjejaskan kerja beliau, jangan lantik saya, itu saya ada beritahu dia,” katanya.
Mohamed Nazri berkata, beliau akan ke AS sebaik sahaja mendapat arahan.
“Sekarang saya bukan ahli politik, saya seorang diplomat. Saya ada menteri, iaitu Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan saya sudah menjadi seorang anggota pentadbiran di bawah Kementerian Luar Negeri,” ujarnya.
Menurutnya, tugas utamanya memastikan hubungan Malaysia dan AS terus kukuh.
“Perdana Menteri diterima baik di Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura malah kita tengok surat peribadi daripada Presiden AS yang ditandatangani sendiri oleh Presiden Joe Biden telah pun dihantar kepada Perdana Menteri, jadi maknanya mereka terima baik,” katanya. – UTUSAN










