SEGAMAT: Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan terhadap usaha menaik taraf sistem kesihatan yang meliputi infrastruktur dan peralatan usang menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2023.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustaffa berkata, kementeriannya mengenal pasti 1,200 klinik kesihatan yang daif telah berusia lebih 50 tahun di seluruh negara yang memerlukan penambahbaikan.
“Walau bagaimanapun, selari dengan kelulusan peruntukan sebanyak RM340 juta menerusi Belanjawan 2023 semalam, tumpuan utama akan diberikan terhadap 400 buah klinik kesihatan yang bukan hanya melibatkan kawasan luar bandar, malah turut berada di kawasan pinggir bandar (sub-urban).
“Naik taraf itu penting, sebenarnya klinik yang berusia lebih 50 tahun memang banyak, yang itu kita akan bagi keutamaan.
“Klinik di luar bandar atau mungkin persekitaran yang berhampiran, yang dipanggil semi urban ada jugak klinik daif dan kita akan lihat secara terperinci satu persatu, yang mana kita perlukan dahulu.
“Sebanyak 400 itu yang akan kita tumpukan pada bajet kali ini, tapi ada lagi klinik yang lain, 1,200 klinik daif keseluruhan di seluruh negara,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Bangunan Tambahan Hospital Segamat yang bernilai RM90.5 juta, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.
Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, bangunan tambahan yang dilengkapi empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta satu unit hidrodinamik dan respiratori itu akan dapat meningkatkan lagi perkhidmatannya, sekali gus menampung keperluan 223,000 penduduk di daerah segamat.
Mengulas peruntukan RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak kepada lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Secara umumnya, kita sudah mengenal pasti jumlah individu yang terlibat berdasarkan permohonan yang telah diterima sebelum ini. Namun, kementerian akan memperincikan setiap permohonan sebelum menentukan penempatan tetap.
“Menerusi Belanjawan 2023, Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar, iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu,” katanya. – UTUSAN