Remaja rogol adik kandung sehingga melahirkan anak - Utusan Malaysia

Remaja rogol adik kandung sehingga melahirkan anak

SEORANG remaja berusia 15 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu hari ini bagi didakwa atas tuduhan merogol adik kandungnya sendiri berusia 14 tahun sehingga melahirkan anak. UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jelebu, hari ini atas tuduhan merogol adik kandungnya sendiri berusia 14 tahun sehingga melahirkan anak di sebuah perkampungan Felda di Jempol pada tahun lalu.

Remaja berusia 15 tahun berkenaan mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan pertama, pada 21 Jun hingga 30 Jun tahun lalu kira-kira pukul 11 sehingga 12 malam di sebuah rumah di Felda Gugusan Palong di Jempol, tertuduh telah melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya sendiri.

Berdasarkan pertuduhan kedua pula, remaja berkenaan mengulangi kesalahan yang sama pada waktu yang sama antara 1 September hingga 10 September tahun lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang boleh berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Muhammad Nizam Rafii manakala remaja berkenaan tidak diwakili peguam.

Majistret kemudiannya membenarkan remaja itu dijamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin ahli keluarga dan sebutan semula kes pada 22 Mac ini bagi laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selain itu, syarat tambahan turut dikenakan iaitu dikehendaki melaporkan diri setiap 1 haribulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai serta harus tinggal berasingan dengan mangsa.

Sementara itu, berdasarkan fakta kes, pada 16 Februari lalu, kira-kira pukul 6.08 pagi, seorang pegawai perubatan menerima maklumat daripada kakitangan klinik kesihatan memaklumkan seorang budak perempuan berusia 14 tahun telah bersalin di rumah.

Pegawai perubatan bersama kakitangan dan ambulan ke rumah tersebut dan mendapati mangsa berada di atas katil ruang tamu dan seorang bayi lelaki cukup sifat berada di dalam besen serta keadaan bayi bersama uri masih bersambung. 

Pegawai perubatan telah memotong tali pusat bayi tersebut dan ambulan telah membawa mangsa dan bayi ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke hospital. Difahamkan, mangsa telah melahirkan bayi kira-kira pukul 5 pagi di dalam bilik air dengan bantuan ibu mangsa. 

Bayi tersebut ditempatkan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah bagi rawatan lanjut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya