PETALING JAYA: Selepas dua tahun timbul persoalan apa status siasatan berhubung laporan dokumen Pandora Papers yang dikaitkan dengan beberapa ahli politik dan tokoh perniagaan yang ‘menyembunyikan’ kekayaan mereka di luar negara?
Rakyat tertanya-tanya sejauh mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melakukan siasatan kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) isu Pandora Papers seperti sudah ‘mati’.
Namun, isu tersebut dijangka dibangkitkan pada sidang Parlimen hari ini sehingga 30 Mac.
Rakyat berhak mengetahui dan sepatutnya siasatan berkaitan Pandora Papers diumumkan dan bila diajukan persoalan, agensi penyiasat wajar memberi jawapan. Contoh siasatan sudah ke tahap mana, siapa individu disiasat, ditahan dan apakah ada individu didakwa.
Ini kerana pendedahan Pandora Papers bukan membabitkan wang kecil tetapi berbilion wang negara dibawa keluar secara ‘tidak telus’ dan ia menjadi antara punca kerugian besar kepada negara sekali gus kepada rakyat.
Diimbas semula pada 4 Oktober 2021, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu mewakili pembangkang mengemukakan notis usul kepada bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta supaya satu sesi perbahasan diadakan berkaitan penPandora Papers.
ALASAN
Pada 6 Oktober 2021, usul berkenaan ditolak Azhar dengan alasan Pandora Papers tidak perlu disegerakan kerana mesyuarat sidang Dewan Rakyat harus didahulukan dengan aturan mesyuarat.
Tidak berhenti di situ, Anwar kemudian sekali lagi mengemukakan notis rayuan terhadap usul ditolak untuk meminta sesi perbahasan diadakan berkaitan pendedahan Pandora Papers pada 7 Oktober 2021.
Susulan itu, pada 25 Oktober 2021, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan SPRM, BNM dan polis melakukan siasatan
Kata Wan Junaidi, pihak berkuasa dan agensi berkaitan diberikan tempoh untuk menyelesaikan siasatan kerana aktiviti itu sudah berlaku kira-kira 10 tahun lalu.
Susulan arahan Wan Junaidi, SPRM dalam satu kenyataan pada 16 Oktober 2021 berkata, agensi itu akan bekerjasama dengan BNM serta agensi lain bagi menyiasat mengenai pendedahan Pandora Papers.
Bagaimanapun, sehingga ini tiada makluman perkembangan siasatan berhubung isu Pandora Papers sedangkan pendedahan itu memberi persepsi tidak baik kepada kerajaan dalam memerangi gejala rasuah.
Pandora Papers adalah pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia termasuk Malaysia yang menyembunyikan kekayaan masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan ‘offshore’.
RANGKAIAN
Offshore merujuk kepada syarikat berpangkalan di negara luar, mempunyai rangkaian dan struktur yang kompleks diwujudkan merentasi sempadan bagi menyembunyikan pemilikan kekayaan dalam bentuk wang dan aset.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan tidak boleh membiarkan isu Pandora Papers ‘mati’ begitu sahaja tanpa siasatan untuk mengetahui punca dan dalang yang terlibat dalam aktiviti ekonomi gelap.
Menurut beliau, kerajaan diberikan dua pilihan sama ada membuat suruhanjaya diraja (RCI) atau mewujudkan kertas putih bagi melihat semula dakwaan yang timbul ekoran pendedahan tersebut.
“Perkara ini kerana demi kebaikan rakyat agar siasatan terperinci untuk menyemak bagaimana wujudnya pihak yang didakwa melarikan cukai dengan menyimpan duit di luar negara,” katanya.
Selain itu, Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun berkata, Anwar perlu mengotakan janji sebelum ini untuk membawa pulang wang daripada hasil gelap di akaun persisiran pantai ke negara ini manakala duit boleh digunakan untuk membayar hutang negara.
Katanya, isu itu sudah berlarutan lebih dua tahun namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.
“Pihak berkuasa without ‘fear or favour’ hendaklah menyiasat perbuatan salah laku undang undang negara yang serius ke atas sesiapa sahaja yang terlibat.
“Ia juga dapat mengembalikan imej kerajaan yang boleh tercalar atas perbuatan salah laku serta penghantaran atau simpanan duit haram, duit rasuah dan lain-lain,” tegasnya.- UTUSAN










