Pesta Chingay disambut meriah - Utusan Malaysia

Pesta Chingay disambut meriah

SULTAN IBRAHIM memalu gendang sebagai tanda perasmian Pesta Chingay di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas dua tahun tanpa sambutan disebabkan pandemik Covid-19, Pesta Chingay Johor Bahru 2023 kini kembali dianjurkan secara besar-besaran di pusat bandar raya, malam tadi.

Kemeriahannya lebih bermakna dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan merasmikan pesta keraian masyarakat Tionghoa itu.

Ketibaan Sultan Ibrahim di pentas utama yang terletak di hadapan pusat beli-belah Komtar JBCC pada pukul 8.35 malam mendapat sorakan meriah hadirin yang memenuhi kawasan itu sejak 5 petang.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor.

Presiden Persatuan Tiong Hua Johor Baru, Ho Sow Tong berharap Pesta Chingay yang berusia lebih seabad itu dapat diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pesta ini telah diiktiraf sebagai warisan budaya oleh Jabatan Warisan Negara pada 2012. Kami berharap jabatan itu dapat mempercepatkan usaha untuk mencalonkan pesta itu kepada Warisan Dunia UNESCO,” katanya.

Menurutnya, perpaduan yang dikecapi masyarakat berbilang kaum di negeri ini telah membantu memajukan Johor selain mengekalkan keamanan dan kemakmuran negeri ini.

Katanya, kira-kira 300,000 peserta serta pengunjung mengambil bahagian dalam pesta yang disambut besar-besaran pada tahun ini.

Pesta berkenaan diserikan dengan pertunjukan 80 kereta berhias di sepanjang 7.8 kilometer bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek.

Perarakan itu melalui beberapa jalan, antaranya Jalan Yahya Awal, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Ngee Heng dan Jalan Tun Abdul Razak sebelum berpatah semula ke kuil itu.

Pesta Chingay yang bermula sejak Khamis lalu merupakan simbol permuafakatan kukuh masyarakat Tionghoa antara kelima-lima dialek, Teochew, Hakka, Hokkien, Guangsiew dan Hainan serta menandakan berakhirnya perayaan Tahun Baharu Cina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN