Perdana Menteri lulus peruntukan bina lima masjid baharu di NS - Utusan Malaysia

Perdana Menteri lulus peruntukan bina lima masjid baharu di NS

AMINUDDIN Harun (tiga dari kanan) bersama wakil penerima bayaran insentif sekali beri berjumlah RM1,000 kepada penggali kubur di negeri ini pada Majlis Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, Seremban malam tadi. UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM31.8 juta bagi pembinaan lima buah masjid baharu di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah berkenaan merupakan 60 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan masjid-masjid berkenaan manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan negeri dan masyarakat.

Beliau menambah, peruntukan berkenaan diluluskan menerusi permohonan yang dibuat oleh kerajaan negeri hasil pertemuan pertamanya dengan Perdana Menteri.

“Berita baik untuk rakyat Negeri Sembilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan berjumlah RM31.8 juta bagi pembinaan masjid-masjid tersebut iaitu Masjid Terapung, Port Dickson; Masjid Ulu Beranang, Lenggeng; Masjid Kariah Talang Tengah, Kuala Pilah; Masjid Tuanku Munawir Seri Menanti, Kuala Pilah dan Masjid Bongek, Rembau,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap Majlis Israk Mikraj Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, di sini malam semalam.

Menteri Besar menambah, mewakili kerajaan negeri ini, kelulusan peruntukan berkenaan sudah tentu sangat disyukuri.

“Ini merupakan kelulusan dari Perdana Menteri kepada Negeri Sembilan, ini untuk peruntukan masjid dahulu,” katanya lagi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sempena sambutan Israk dan Mikraj dan berada dalam bulan Rejab yang mulia, beliau menyeru umat Islam di negeri ini untuk memperkuatkan azam agar sentiasa bersegera mendirikan solat fardu dengan lebih baik menunaikannya secara berjemaah di masjid ataupun surau berhampiran.

“Saya mengimpikan rakyat di negeri ini untuk mengimarahkan masjid-masjid dan surau-surau demi mengukuhkan tali persaudaraan sesama kita tanpa mengira ideologi dan pemikiran politik,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN