Pengasas ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna tidak mengaku sebar ajaran salah - Utusan Malaysia

Pengasas ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna tidak mengaku sebar ajaran salah

WAN Maseri Wan Mohd. (kanan) yang merupakan pengasas ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan dia adalah jurutaip Allah.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang wanita digelar ‘Ummi’ yang merupakan pengasas ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban di sini hari ini atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan dia adalah jurutaip Allah.

Tertuduh, Wan Maseri Wan Mohd., 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Ruzita Ramli.

Terdahulu, Wan Maseri yang merupakan bekas pensyarah sebuah universiti awam memakai jubah berwarna ungu tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10 pagi, namun prosiding mahkamah hanya bermula sekitar pukul 1.15 petang.

Mengikut pertuduhan, Wan Maseri didakwa telah menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan antara lain bahawa dirinya adalah jurutaip Allah, roh manusia daripada zat Allah dan segala tindakan adalah berdasarkan arahan terus dari Allah.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 9.45 pagi di sebuah rumah di Kampung Nuri Balai Panjang, Johol di Kuala Pilah pada 27 Februari 2023. 

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Wan Maseri tetap dengan pendirian tidak mengaku bersalah dan memberitahu akan mengendalikan kes sendiri tanpa peguam.

Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan berkata, pihak pendakwaan menawarkan jaminan yang berat dengan seorang penjamin dari kalangan penjawat awam.

“Kes ini telah diketahui secara umum dan meluas bahawa fahaman ajaran ini telah tersebar melalui media sosial dan pengakuan taubat secara rasmi telah dibuat tertuduh melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.

Wan Maseri kemudian memohon jaminan dikurangkan kepada RM4,000. Mahkamah kemudian membenarkan Wan Maseri dijamin RM4,500 dengan seorang penjamin dari kalangan penjawat awam dan kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 4 April depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya