Wan Maseri dipenjara setahun, mengaku salah mengajar agama tanpa tauliah - Utusan Malaysia

Wan Maseri dipenjara setahun, mengaku salah mengajar agama tanpa tauliah

WAN Maseri Wan Mohd. dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah bagi didakwa atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengasas ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mengajar agama tanpa tauliah di sebuah kampung di daerah ini.

Bekas pensyarah itu juga dikehendaki menjalani hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Tertuduh, Wan Maseri Wan Mohd, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Sabarudin Bidin.

Mengikut pertuduhan, pada 27 Februari 2023, kira-kira pukul 9.45 pagi bertempat di Kampung Nuri, Balai Panjang Wp, di Johol, dia telah didapati mengajar agama tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah di bawah Seksyen 118(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pihak penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan telah melakukan operasi pada tarikh, masa dan lokasi yang sama dan mendapati tertuduh sedang mengajar agama Islam di hadapan sejumlah individu.

Tauliah tertuduh telah dibatalkan pada 21 Oktober 2019 dan telah dilarang disebabkan didapati meragui akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta membawa kepada kesesatan.

Tertuduh bagaimanapun membuat rayuan untuk menggugurkan hukuman penjara dan hanya dikenakan denda.

“Saya mohon rayuan agar digugurkan hukuman penjara dan bayaran dikurangkan sebanyak RM1,000. Itulah sekadar kemampuan saya,” kata tertuduh.

Pendakwa Syarie, Abdul Wafi Ramli bagaimanapun dalam hujahannya menegaskan rayuan yang dikemukakan tertuduh adalah tanpa sebarang alasan munasabah dan ketiadaan alasan tidak boleh diterima serta wajar ditolak.

Bahkan, menurutnya, berkaitan pertuduhan iaitu kesalahan mengajar agama tanpa tauliah, undang-undang telah digubal untuk memantau dan menyelaras ajaran agama Islam yang disampaikan tidak terpesong dari akidah.

“Berdasarkan siasatan, tertuduh telah ditarik balik tauliah. Undang-undang ini adalah untuk memelihara fitnah ke atas agama dan apa yang dilakukan tertuduh telah melanggar fatwa sebelum ini serta boleh mendatangkan fitnah.

“Penyebaran ajaran tertuduh kepada orang awam memberi kesan buruk kepada pemahaman orang Islam khususnya di Negeri Sembilan. Walaupun pada dasarnya hanya melanggar tauliah, asasnya ajaran yang disampaikan boleh membawa kesesatan. Saya melihat perlu satu hukuman yang benar-benar tegas untuk pastikan ajaran yang di bawa tertuduh tidak disebarkan lagi,” katanya.

Selain itu, Abdul Wafi juga menyatakan undang-undang tersebut telah beberapa kali dipindah dengan terkini mendahulukan hukuman penjara dan langkah itu menunjukkan ketegasan di Negeri Sembilan dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Terdahulu, Wan Maseri turut didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini atas pertuduhan menyebarkan ajaran salah kepada sekumpulan orang Islam dengan menyatakan dia adalah jurutaip Allah.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 itu.

Mahkamah kemudian membenarkan Wan Maseri dijamin RM4,500 dengan seorang penjamin dari kalangan penjawat awam. Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 4 April depan.

Semalam, media melaporkan kegiatan ajaran sesat Kumpulan Zikir Asmaul Husna yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dikesan kembali aktif selepas pengasasnya seorang wanita ditahan bersama 17 pengikut di Johol, Kuala Pilah.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya