Pemilik kebun ditemui mati dengan tangan, kaki berikat - Utusan Malaysia

Pemilik kebun ditemui mati dengan tangan, kaki berikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang pemilik kebun ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangan berikat di sebuah kebun buah naga di Site A, Tanah Merah di sini semalam dipercayai bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis menerima laporan tentang kematian mangsa seorang lelaki berusia 44 tahun pada pukul 2.52 petang oleh bapanya.

“Siasatan awal pihak polis mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap tidak berbaju dan hanya memakai seluar warna hitam manakala kedua-dua belah tangan dan kaki berikat dengan tali.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa menjumpai sebuah dompet yang mempunyai dokumen pengenalan diri dan terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, pemeriksaan mendapati barangan lain milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit dan motosikal tidak dijumpai disyaki telah dilarikan oleh suspek.

“Mangsa mewarisi kebun keluarga dan lebih kurang lima tahun tinggal sendiri di situ, kali terakhir bapanya melihat mangsa ketika menghantar makanan pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.

“Hasil temubual dengan keluarga, mangsa ada mengambil seorang pekerja warganegara Myanmar yang bekerja lebih kurang dua minggu, namun butiran peribadi tidak diketahui dan telah menghilangkan diri,” katanya.

Jelas Aidi Sham, bertindak atas maklumat, pada pukul 11.40 pagi tadi, sepasukan polis diketuai Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan (IPKNS) dibantu Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson telah membuat tangkapan terhadap suspek empat lelaki warganegara Myanmar di Shah Alam, Selangor.

“Suspek yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau. Siasatan awal terhadap suspek mereka mengaku terlibat dalam kes yang disiasat.

“Ekoran daripada tangkapan tersebut, pada pukul 6 petang hari yang sama pihak polis telah menemui semula motosikal mangsa yang telah disorokkan suspek di sebuah kebun kelapa sawit di Site A, Tanah Merah, Port Dickson,” katanya.

Aidi Sham berkata, dengan penangkapan tersebut, pihak polis telah berjaya menyelesaikan kes dalam tempoh kurang 24 jam dan siasatan mendapati motif kejadian disyaki berunsurkan dendam.

“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson esok untuk proses tahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya