Pasukan khas pantau ketirisan diesel - Salahuddin - Utusan Malaysia

Pasukan khas pantau ketirisan diesel – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan pada Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Pulai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan bertindak khas akan melakukan rondaan dan memantau logistik di semua lokasi penting, khususnya di kawasan pedalaman di seluruh negara yang dikhuatiri banyak berlaku ketirisan diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pemantauan juga dilakukan di pangkalan-pangkalan nelayan yang dikhuatiri berlaku ketirisan diesel untuk golongan nelayan.

“KPDN ada 2,100 anggota penguat kuasa yang akan menyambut cabaran supaya dapat minimumkan ketirisan diesel di seluruh negara menerusi penguatkuasaan yang dijalankan.

“Sepanjang tahun lalu, sudah banyak tangkapan dibuat menerusi operasi dilancarkan termasuk Op Terjah yang dijalankan Disember lalu.

“Menerusi semua operasi yang dijalankan, kita akan pastikan penguatkuasaan dapat mengambil tanggungjawab bukan dalam isu ketirisan diesel, malah minyak peket bersubsidi dan telur bersubsidi,” katanya selepas menyampaikan bantuan Program Kembali Ke Sekolah Parlimen Pulai, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 dilaporkan memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada 2022.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof telah diarahkan mengetuai pasukan bertindak khas bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel itu daripada terus berleluasa.

Ditanya sama ada KPDN akan mengetatkan prosedur mendapatkan subsidi diesel, Salahuddin berkata, kementerian akan meneliti semula data ketirisan diesel dengan lebih terperinci.

“Data berkenaan (ketirisan diesel) kita perlu teliti dan periksa untuk dikemas kini terlebih dahulu. 

“Sebarang langkah lanjut memerlukan kerjasama dengan kementerian lain terutamanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS)  yang memberi diesel kepada nelayan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN