Pahang Daily diberi masa tiga hari tarik kenyataan berunsur fitnah - Zamri - Utusan Malaysia

Pahang Daily diberi masa tiga hari tarik kenyataan berunsur fitnah – Zamri

ZAMRI RAMLY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly memberikan Pahang Daily Online (PDO) masa tiga hari untuk menarik balik kenyataan berunsur fitnah terhadapnya yang dikeluarkan portal berita berkenaan, semalam.

Zamri berkata, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kerana tuduhan sedemikian cukup serius serta boleh memberikan kesan kepada seluruh ahli keluarganya dan UMNO Bahagian Pekan.

“Saya menafikan tuduhan berunsur fitnah yang dilemparkan terhadap saya menerusi portal berita itu.

“Tuduhan itu bukan sahaja ingin menjatuhkan reputasi dan imej saya malah mencemar dan seolah-olah memburukkan imej UMNO Bahagian Pekan serta menimbulkan persepsi buruk terhadap diri saya.

“Tuduhan sebegini boleh menyebabkan hilang kepercayaan dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Pekan kepada parti keramat ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

PDO dalam portal berita itu melaporkan tentang kegusaran seandainya Zamri menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pekan pada pemilihan parti itu bulan depan.

Kenyataan dilaporkan PDO memetik seorang veteran UMNO Bahagian Pekan yang enggan namanya dikenali itu turut mendakwa Zamri mempunyai lombong pasir di Chini dan didakwa mula menyerang Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail apabila kerajaan negeri membatalkan lesen lombong tersebut.

Zamri berkata, beliau memangku jawatan itu kerana Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan kepercayaan kepadanya bagi menguruskan urusan UMNO Bahagian tersebut.

“Kini pemilihan UMNO Bahagian sedang berlangsung di seluruh negara dan telah menyebabkan serangan berunsurkan fitnah terhadap diri saya. Secara jujurnya saya berasa cukup terkilan dengan tuduhan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya.

Beliau turut berharap agar tiada pihak mencampuri urusan pemilihan UMNO Bahagian Pekan yang akan berlangsung dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya