Muhamad Aznil, Mohamad Aniq sandaran layak ke Olimpik Paris

Muhamad Aznil, Mohamad Aniq sandaran layak ke Olimpik Paris

AHMAD JANIUS Abdullah melihat seorang pelajar mengangkat bebanan pada Program Pencarian Bakat Sukan Angkat Berat di SK Kesang Tua, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Dua atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan menjadi sandaran Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi kategori 61 kilogram (kg).

Naib Presiden PABM, Ahmad Janius Abdullah berkata, kedua-dua mereka sedang mempersiapkan diri mengumpul mata sebanyak mungkin bagi berada dalam kelompok 10 terbaik untuk melayakkan diri ke temasya itu.

Menurutnya, Muhamad Aznil dan Mohamad Aniq akan mula menyertai beberapa kejohanan bermula di Kejuaraan Asia di Korea Selatan Mei ini, Cuba pada Jun dan pentas terakhir di Kejohanan Dunia di Phuket, Thailand April tahun depan.

“Kedua-dua atlet ini tidak disenaraikan bertanding ke Sukan SEA Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini kerana bertembung dengan kejohanan angkat berat yang menawarkan mata kelayakan ke Olimpik.

“Kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik akan kita berikan tumpuan utama dalam
memastikan salah seorang daripada mereka layak ke Paris.

“Persiapan kedua-dua atlet ini berjalan lancar dibawah kendalian jurulatih Yon Hariyono dalam usaha untuk mereka merealisasikan impian beraksi di pentas yang menjadi idaman seluruh atlet dunia,” katanya kepada pemberita selepas Program Pencarian Bakat Sukan Angkat Berat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua di sini hari ini.

Ahmad Janius yang juga pengurus pasukan kedua-dua atlet itu berkata, Muhamad Aznil dan Mohamad Aniq menjadi sandaran atas kejayaan mereka memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Jelasnya, reputasi itu meyakinkan PABM bahawa mereka mampu beraksi cemerlang di Kejuaraan Asia dengan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 10 terbaik untuk mengutip mata.

Mengulas berkenaan Program Pencarian Bakat Sukan Angkat Berat, katanya, ia bertujuan mencari pelapis baharu untuk diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

“Paling penting program ini adalah untuk mencari bakat baharu bagi diserapkan ke Projek Sukan Olimpik Brisbane 2032,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya