Menu Rahmah: KPDN bincang semula dengan peniaga jika kos barangan membebankan - Utusan Malaysia

Menu Rahmah: KPDN bincang semula dengan peniaga jika kos barangan membebankan

FUZIAH Salleh (empat dari kiri) melancarkan Jelajah Menu Rahmah Negeri Pahang bertempat di Restoran Taj di Kuantan, Pahang. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang semula dengan pemilik restoran yang melaksanakan inisiatif Menu Rahmah jika harga barangan mentah meningkat dan membebankan mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, perbincangan itu akan dilakukan jika keadaan inflasi makanan mendesak dan tidak lagi mampu dikawal.

Katanya, setakat ini, inflasi makanan menunjukkan unjuran penurunan kepada 6.58 peratus sejak hujung tahun lalu dan awal tahun ini berbanding pada November tahun lalu iaitu tujuh peratus.

“Berdasarkan analisa yang dilakukan oleh pakar ekonomi, inflasi makanan ini dijangka akan menurun sehingga lima peratus pada hujung suku pertama tahun ini dan ia Insya-Allah tidak akan membebankan peniaga.

“Kita semua tahu, harga bahan mentah ada kaitan dengan kuasa-kuasa luar, bukan semata dalam negara. Harga barang mahal juga ada kaitan dengan faktor global seperti cuaca dan sebagainya.

“Doakan bahawa unjuran ini tidak akan membebankan peniaga. Sekiranya unjuran berubah, Insya-Allah kita akan bincang balik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jelajah Menu Rahmah Negeri Pahang bertempat di Restoran Taj di sini hari ini.

Kata Fuziah lagi, harus difahami bahawa pelaksanaan Menu Rahmah itu adalah atas inisiatif sendiri pemilik restoran yang bersedia mengurangkan marjin keuntungan mereka bagi membantu kerajaan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan situasi ekonomi kini.

“Kerajaan amat berterima kasih atas kerjasama diberikan oleh pemilik restoran yang terlibat dengan kempen ini dan dalam masa sama kita juga tidak mahu membebankan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 512 premis makanan meliputi masakan panas, makanan India Muslim dan makanan segera seluruh negara sudah mendaftar untuk menyertai inisiatif Menu Rahmah dengan 18 buah premis di negeri ini telah membuat pendaftaran awal.

“Hari ini kita melancarkan Jelajah Menu Rahmah Pahang bermula dengan lima outlet restoran India Muslim yang terlibat di Kuantan.

“Pada pukul 5 petang, portal KPDN akan mula bersiaran langsung dan orang ramai boleh membuka portal kami untuk melihat restoran yang terdapat menu rahmah selain juga untuk peniaga yang berminat untuk mendaftar dan menyertai kempen ini,” katanya.

Fuziah dalam masa sama memberitahu, KPDN menerima maklum balas memberangsangkan dari orang ramai dan akan terus melakukan perbincangan serta bengkel bersama peniaga bagi memastikan sistem sokongan menu rahmah bertahan lama.

KPDN juga katanya, akan memperluaskan lagi libat urus dengan beberapa rantaian kedai makanan seluruh negara yang kini sudah mula menunjukkan kesediaan menawarkan Menu Rahmah.

“Harap dalam masa terdekat sebolehnya sebelum Ramadan, kita dapat meliputi seluruh segmen masyarakat supaya mereka dapat manfaat dari ini terutamanya orang kurang bernasib baik ketika bulan Ramadan nanti. KPDN akan bekerja kuat untuk libat urus dan mendapatkan kerjasama dari peniaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya