Keputusan rayuan akhir Najib dibuat berdasarkan `kesalahan atas kesalahan’ - Utusan Malaysia

Keputusan rayuan akhir Najib dibuat berdasarkan `kesalahan atas kesalahan’

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sekali lagi menghujahkan bahawa rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah didengar dan penghakiman panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dibuat berdasarkan hujah sebelah pihak.

Menurut peguam terbabit, keadaan itu adalah satu ketidakadilan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pada pendengaran rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu yang bermula 15 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan penangguhan yang dikemukakan opeguam terdahulu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim (ketika itu) dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Pada 18 Ogos 2021, Muhammad Shafee  memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau terpaksa menarik diri daripada terus mewakili Najib kerana tidak bersedia untuk berhujah kerana pihaknya baharu sahaja mengambil alih kes berkenaan dan tiada masa yang cukup untuk membuat persediaan.

Permohonan untuk menarik diri itu bagaimanapun ditolak oleh mahkamah.

“Apa yang didengar pada ketika itu hanyalah permohonan. Terdapat beberapa permohonan pada prosiding tersebut dan salah satu daripadanya ialah permohonan berkaitan hakim bicara, Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali. Hanya itu sahaja.

RAYUAN

“Peguam (Datuk) Hisyam Teh Poh Teik tidak membuat sebarang hujah mengenai rayuan akhir itu sebaliknya mahkamah telah menjemput pihak pendakwaan untuk berhujah. Itu adalah satu kesalahan. Tidak membuat hujah rayuan juga satu kesalahan. (Keputusan rayuan akhir) ini dibuat atas kesalahan di atas kesalahan (compounded on error upon error),” hujahnya.

Selain itu, Muhammad Shafee menghujahkan bahawa penghakiman tersebut dibuat berdasarkan hujahan pihak pendakwaan tanpa mengambil kira 94 alasan rayuan pihak perayu (Najib).

Kata peguam terbabit, walaupun tanpa hujahan daripada pihak peguam, ia tidak boleh menyebabkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dipandang ringan termasuk alasan-alasan rayuan yang dikemukakan dan hujahan yang  dibuat di mahkamah terdahulu.

“Apabila seorang anak guam melalui peguamnya enggan berhujah, adakah wajar untuk mahkamah hanya bergantung kepada hujahan pihak lawan sehingga menggunakannya untuk merangka kes pihak perayu? 

“Atau adakah menjadi tugas mahkamah untuk melaksanakan tugasnya yang terbaik dengan mengambil kira segala bukti dan keterangan di hadapannya untuk memutuskan sama ada untuk menerima alasan rayuan, sama ada terdapat keraguan munasabah atau kegagalan dalam melaksanakan keadilan,” hujahnya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee menyatakan perkara tersebut tidak berlaku dalam rayuan akhir Najib.

RUMUSAN

“Penghakiman (panel hakim Mahkamah Persekutuan) tidak ubah seperti satu rumusan tanpa sebarang alasan (sokongan). Tiada dalam penghakiman tersebut menunjukkan bahawa alasan rayuan atau hujah di mahkamah terdahulu diambil kira oleh mahkamah.

“Sebaliknya, hujahan pihak pendakwaan telah dirujuk dalam penghakiman (panel Mahkamah Persekutuan), setidak-tidaknya berhubung mens rea (niat). Selain itu, tiada di mana-mana bahagian penghakiman menunjukkan alasan rayuan atau hujahan perayu telah diambil kira,” kata Muhammad Shafee.

Hujahan tersebut dibuat Muhammad Shafee pada prosiding semakan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah atas pelbagai tuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dalam rayuan akhirnya pada Ogos tahun lalu.

Semakan itu didengar oleh Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Hujahan bersambung petang ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.