KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan pihaknya belum meluluskan sebarang lesen untuk pengeluaran nadir bumi atau Rare Earth Element (REE) di negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini kerajaan negeri telah memperoleh maklumat beberapa kawasan yang mempunyai REE di negeri ini daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Menurutnya, kerajaan negeri sudah merujuk kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk mendapatkan garis panduan berkaitan dengan perkara tersebut.
“Cuma dalam mesyuarat exco minggu lepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob meminta supaya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengemukakan cadangan garis panduan pelaksanaan perlombongan nadir bumi di negeri ini.
“Jadi kita baru berada di peringkat tersebut. Belum ada sebarang kelulusan atau lesen dikeluarkan berkaitan REE,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu menegaskan bahawa situasi berkaitan REE di negeri ini adalah sangat berbeza daripada apa yang berlaku di Kedah.
Katanya, kecurian REE yang berlaku di Kedah adalah berikutan sudah ada kelulusan berkaitan dan telah diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Apa yang berlaku di Kedah adalah berikutan sudah ada kelulusan untuk penjelajahan dan pihak tidak bertanggungjawab mengambil peluang daripada kelulusan berkenaan untuk mencuri nadir bumi di negeri itu.
“Sebaliknya di Kelantan belum ada sebarang kelulusan atau lesen berkaitan REE dan kita juga belum terima sebarang laporan atau aduan berkaitan kecurian nadir bumi di negeri ini,” ujarnya.-UTUSAN










