HPSF sedia sumbang bekalan darah kepada hospital memerlukan - Utusan Malaysia

HPSF sedia sumbang bekalan darah kepada hospital memerlukan

MUHAMMAD YUSOF SIBERT (dua, kiri) menggaul yee sang sebagai simbolik perasmian Majlis Sambutan Deepavali 2022 dan Tahun Baharu Cina 2023 – Deepa-Kong Xi di Dewan Saujana HPSF, Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar sedia menyumbangkan bekalan darah kepada hospital memerlukan bagi meningkatkan mutu rawatan kepada pesakit di negara ini.

Pengarahnya, Dr. Muhammad Yusof Sibert berkata, setakat ini HPSF tidak mengalami kekurangan bekalan darah berikutan tahap kesedaran penderma yang peka dengan temu janji diberikan.

“Di HPSF terdapat lebih 100 penderma tetap yang sentiasa mematuhi tarikh temu janji apabila hadir menderma pada setiap tiga bulan sekali.

“Kita bersyukur kerana semasa fasa pandemik lagi, bekalan darah sentiasa mencukupi, malah HPSF juga menyumbang bekalan ini kepada sebuah hospital di Sabah kerana isu kekurangan darah kritikal di seluruh negara ketika itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Deepavali 2022 dan Tahun Baharu Cina 2023 – Deepa-Kong Xi, di Dewan Saujana HPSF, di sini hari ini.

Menurut Dr. Muhammad, Unit Transfusi Darah HPSF juga sentiasa memainkan peranan dengan mengadakan hebahan serta promosi, khususnya kepada kumpulan penderma baharu.

“Hingga kini,  lebih kurang 65 peratus penderma tetap adalah mereka yang berusia 45 tahun ke atas, manakala selebihnya golongan muda berusia lingkungan 20-an.

“Kita tidak boleh berasa terlalu selesa kerana golongan muda yang merupakan penderma tetap ini masih lagi rendah. Justeru, kaedah yang dilakukan adalah sentiasa mendekatkan diri dengan mereka, iaitu mengingatkan tarikh temu janji seterusnya.

“Selain itu, kita juga menyediakan keistimewaan tertentu kepada penderma tetap sebagai menghargai usaha murni mereka membantu menyumbangkan bekalan darah kepada orang ramai,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis berkenaan, lebih 2,000 kakitangan HPSF diraikan sebagai usaha mengeratkan perpaduan berbilang kaum serta merapatkan ukhwah antara warga hospital berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya