PUTRAJAYA: Seorang hakim tidak mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada orang lain dari sisi undang-undang awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, hal itu tertakluk Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang, melainkan terdapat diskriminasi yang dibenarkan.
Beliau berkata, diskriminasi dibenarkan itu hendaklah secara khusus diizinkan oleh undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Justeru, katanya, undang-undang awam seperti Kanun Acara Jenayah dan Akta SPRM terpakai kepada semua orang kerana tidak diperuntukkan pengecualian kepada sesiapa yang dituduh di bawah kesalahan itu.
“Begitu juga kuasa pendakwaan yang terletak pada Peguam Negara. Peguam Negara mempunyai budi bicara untuk membenarkan pendakwaan dimulakan terhadap siapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah di Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu seperti diperuntukkan Perkara 181(2).
“Bukan sahaja badan kehakiman diperuntukkan kebebasan untuk mengadilikan kes, pendakwa raya juga diberikan kebebasan yang sama mengikut peruntukan undang-undang,” katanya d semalam.
Wan Ahmad Fauzi mengulas penghakiman Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan, yang memutuskan SPRM dan badan siasatan lain berhak secara Perlembagaan untuk menjalankan siasatan dan pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding jenayah terhadap hakim mahkamah atasan.
PROTOKOL
Bagaimanapun, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman, antaranya badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap seseorang hakim.
Selain itu, badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan, termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.
Tengku Maimun berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (sebelum ini Hakim Mahkamah Tinggi).
Wan Ahmad Fauzi berkata, jika raja-raja Melayu juga tertakluk kepada proses perbicaraan mengikut Perkara 182 dan 183, maka apatah lagi orang lain yang melaksanakan fungsi kedaulatan mereka; hakim, ahli eksekutif dan ahli badan perundangan tidak diberikan pengecualian oleh Perkara 8.
“Mereka perlu menjalani proses yang sama seperti juga orang lain. Setiap pelaksana fungsi cabang kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman perlu menghormati amanah yang diberikan kepada masing-masing,” katanya. – UTUSAN










