Habib Shah Firdaus mengaku salah hina agama Islam, didenda RM4,500 - Utusan Malaysia

Habib Shah Firdaus mengaku salah hina agama Islam, didenda RM4,500

HABIB Shah Firdaus Habib Ahmad (depan) tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menghina agama Islam pada tahun lalu.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah Seremban menjatuhkan hukuman denda pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Kampung Jawa, Labu di sini, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 60, sebanyak RM4,500 atas kesalahan menghina agama Islam.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Syarie, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin selepas Habib Shah Firdaus mengaku salah atas tuduhan menghina agama Islam dengan cara membuat pengakuan sebagai Imam Mahdi di markas tarekat tersebut pada tahun lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh antara bulan Januari hingga Mac tahun lalu bertempat di markas tarekat berkenaan yang terletak di Lot 3263, Jalan Labu, Batu 8, Kampung Jawa, Labu di sini telah disifatkan menghina agama Islam.

Ia dengan cara membuat pengakuan sebagai Imam Mahdi sedangkan pengakuan tersebut adalah palsu.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50 (i) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan. 

Pada prosiding hari ini, Habib Shah yang diwakili peguam syarie, Ahmad Shaher Mohd. Fuad mengakui salah dan menyatakan rasa kesal atas perbuatannya dan memohon hukuman denda minimum serta tidak dipenjarakan.

Ahmad Shaher menjelaskan, anak guamnya itu sudah berusia 60 tahun dan mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja dan dua orang anak dengan salah seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU).

Tambah beliau, tertuduh yang mempunyai penyakit darah tinggi dan perlu menjalani rawatan setiap hari juga merupakan penafkah utama keluarganya selain sudah bertaubat.

Pendakwaan bagaimanapun memohon hukuman maksimum dikenakan kerana kesalahan dilakukan oleh tertuduh itu sesuatu yang serius kerana ia ada kaitan dengan ajaran sesat dan menjurus kepada perlakuan jenayah akidah.

Kamal Bashah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 dan sekiranya gagal membayar denda boleh dipenjarakan selama tiga bulan. Tertuduh membayar denda tersebut.

Pada 16 Disember tahun lalu, Habib Shah Firdaus telah dibawa ke mahkamah yang sama bagi didakwa atas kesalahan berkenaan selepas dia ditahan polis Cawangan Khas Bukit Aman di sebuah rumah yang disewanya di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak, Selangor kira-kira pukul 10 malam 15 Disember tahun lalu selepas empat bulan menyembunyikan diri.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan Habib Shah Firdaus melantik peguam sebelum kes diteruskan dengan bacaan pertuduhan.

Pada 8 September tahun lalu, media melaporkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan keberadaan Habib Shah Firdaus.

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan pada waktu itu, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, ia selepas lelaki yang dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak itu telah pulang ke negara ini dari Arab Saudi pada 21 Ogos.

Habib Shah Firdaus dikatakan telah ditahan polis di Arab Saudi dan dia telah diarahkan pulang terus ke Malaysia namun penahanannya itu tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa negara ini.

Mohd. Yusof sebelum itu memberitahu, Habib Shah Firdaus telah menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Hasil maklumat diperoleh pihaknya, Habib Shah Firdaus berada di Arab Saudi sejak bulan Mac 2022 bersama ratusan pengikutnya bagi menantikan satu ‘peristiwa besar’ iaitu kemunculan Imam Mahdi.

Antara maklumat yang diperoleh juga, Habib Shah Firdaus dikatakan mahu menunggu Hari Arafah iaitu dakwanya satu peristiwa akan berlaku, seolah-olah imam Mahdi akan muncul dan dia mahu menjadi pengikut Imam Mahdi.

Pada 4 Ogos 2022, menerusi kenyataan, Mohd. Yusof memaklumkan, pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.

Penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.

Jelas beliau, pada awal Julai tahun lalu, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.