Pendakwaan terhadap Habib Shah Firdaus tangguh, mahkamah beri tempoh lantik peguam - Utusan Malaysia

Pendakwaan terhadap Habib Shah Firdaus tangguh, mahkamah beri tempoh lantik peguam

HABIB Shah Firdaus Habib Ahmad dibawa ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini memberi tempoh kepada pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Kampung Jawa, Labu di sini, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 59, untuk melantik peguam bagi pendakwaan terhadapnya selepas disyaki melakukan kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Hakim Syarie, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin kemudian turut membenarkan jaminan RM3,000 terhadap Habib Shah Firdaus dengan seorang penjamin yang beragama Islam dan bermastautin di Negeri Sembilan.

Mahkamah turut menetapkan 21 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam sebelum kes diteruskan dengan bacaan pertuduhan.

Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pertuduhan mengikut Seksyen 50 (i)  Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu mencela atau disifatkan sebagai menghina atau cuba mencela atau menghina agama Islam.

Pendakwaan telah dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan.

Selepas empat bulan menyembunyikan diri, Habib Shah Firdaus dilaporkan media telah ditahan polis Cawangan Khas Bukit Aman di sebuah rumah yang disewanya di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak, Selangor kira-kira pukul 10 malam tadi.

Pada 8 September lalu, media melaporkan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (JMKNNS) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan keberadaan Habib Shah Firdaus.

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, ia selepas lelaki yang dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak itu telah pulang ke negara ini dari Arab Saudi pada 21 Ogos lalu.

Habib Shah Firdaus dikatakan telah ditahan polis di Arab Saudi dan dia telah diarahkan pulang terus ke Malaysia namun penahanannya itu tidak dimaklumkan kepada pihak berkuasa negara ini.

Mohd. Yusof sebelum itu memberitahu, Habib Shah Firdaus telah menyeleweng daripada hukum syarak termasuk mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Hasil maklumat diperoleh pihaknya, Habib Shah Firdaus berada di Arab Saudi sejak bulan Mac lalu bersama ratusan pengikutnya bagi menantikan satu ‘peristiwa besar’ iaitu kemunculan Imam Mahdi.

Antara maklumat yang diperoleh juga, Habib Shah Firdaus dikatakan mahu menunggu Hari Arafah iaitu dakwanya satu peristiwa akan berlaku, seolah-olah imam Mahdi akan muncul dan dia mahu menjadi pengikut Imam Mahdi.

Pada 4 Ogos lalu, menerusi kenyataan, Mohd. Yusof memaklumkan, pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang berpusat di Kampung Jawa, Labu di sini ditutup berkuat kuasa 3 Ogos lalu.

Penutupan pusat itu bagi tempoh enam bulan dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan, sama ada untuk membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.

Jelas beliau, pada awal Julai lalu, pihaknya telah menerima aduan tentang tarekat yang dipimpin oleh Habib Shah Firdaus telah melakukan perbuatan, perkara atau amalan yang bercanggah dengan hukum syarak serta pengamalan tarekat tasawuf seperti mana direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya